Oleh : Anuar Ahmad
MUNGKIN ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa November lalu adalah sambutan Bulan Integriti pada setiap tahun yang ditetapkan selepas pelancaran Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004. Sesuatu yang boleh kita banggakan adalah majoriti daripada 746 buah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan telah mengambil kesempatan ini untuk mengadakan pelbagai program bagi memberikan kesedaran tentang pentingnya integriti dalam kehidupan, bukan sahaja sebagai penjawat awam tetapi sebagai rakyat negara ini keseluruhannya.
Sambutan bulan Integriti juga agak sinonim dengan sambutan beberapa hari lain di peringkat antarabangsa yang agak berkait rapat dengan integriti iaitu International Day For Tolerance yang disambut pada 16 November, International Day For Elimination of Violence Against Women (25 November) dan World Anti-Corruption Day pada 9 Disember setiap tahun.
Selaku agensi pemantau dan pelaksana Pelan Integriti Nasional, Institut Integriti Malaysia (Integriti) telah mengadakan empat program utama bagi melestarikan proses pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat iaitu melalui pembentangan teater berjudul ‘Plastik Hitam’ hasil kerjasama dengan Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia. Pembentangan teater karya dan arahan sutradara muda Syahrul Musa hasil lakonan para siswazah ini membongkar tentang kepentingan untuk menentang budaya keganasan dan prasangka buruk sesama manusia.
Pengumuman Global Terrorism Index 2016 oleh Institute for Economic and Peace, Australia baru-baru ini menunjukkan ancaman keganasan global di Malaysia berada pada tahap sederhana iaitu pada tangga 61/130 dengan skor indeks 2.691/10 dengan angka 10 sebagai negara yang paling terdedah kepada ancaman keganasan.
Laporan itu menyebut bahawa Iraq mendahului dunia sebagai negara yang paling terdedah kepada keganasan dengan skor 9.96/10 dan diikuti oleh negara-negara yang setara dengannya iaitu Afghanistan, Nigeria, Pakistan, Syria dan Yemen menduduki enam tangga teratas.
Sementara itu, Turki dan Perancis yang baru mengalami beberapa siri pengeboman berada di tangga ke-14 (6.739/10) dan tangga 29 (5.603/10). Amerika Syarikat dan United Kingdom tersenarai sebagai negara yang terdedah kepada ancaman pengganas iaitu di tangga ke-34 dan 36 dunia. Dalam pada itu, Vietnam dan Uruguay melengkapkan senarai sebagai negara paling selamat daripada ancaman keganasan dengan skor indeks sifar.
Sambutan bulan integriti tahun ini turut diisi dengan Konvensyen Integriti Nasional yang diadakan baru-baru ini bertemakan ‘Integriti dan Tadbir Urus: Memperkasa Imej Perkhidmatan Awam’.
Konvensyen dimulakan dengan ucaptama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dengan mengupas tajuk ‘Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Berintegriti Tinggi’ yang memberi amaran kepada penjawat awam yang tidak berintegriti bahawa salah laku rasuah dan penyelewengan mereka kini adalah terdedah kepada liputan media setiap kali tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak sekadar diletakkan di dalam ‘pool’ di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sahaja seperti amalan dulu.
Tindakan-tindakan drastik seumpama ini adalah amat penting bagi memulihkan imej perkhidmatan awam. Pengenalan Dasar Pemisah (Exit Policy) juga adalah wake up call kepada penjawat awam yang selama ini mengambil remeh akan soal prestasi kerja dan kegagalan dalam memenuhi Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang ditetapkan. Bersempena dengan konvensyen itu juga Ali menyerahkan Modul Latihan Pengukuhan Integriti Institusi Penguatkuasaan yang diterima oleh Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaakop Md. Sam untuk dipanjangkan pelaksanaannya kepada 21 agensi penguatkuasaan yang terdapat dalam negara.
Sambutan Bulan Integriti ini disusuli dengan seminar Pengukuhan Integriti Kepimpinan Pelajar yang berlangsung pada 24 November lalu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Cawangan Nilai, Negeri Sembilan. Matlamat utama program adalah menyedarkan golongan mahasiswa akan kepentingan integriti dalam kehidupan mereka selaku pewaris kepada kepimpinan negara di masa depan.
Penyebaran khutbah Jumaat yang menyentuh tentang kepentingan integriti juga diusahakan bagi menyedarkan lebih lapan juta jemaah yang membanjiri 6,391 buah masjid di seluruh negara.
Mudahan-mudahan melalui empat program utama yang diusahakan oleh Integriti bagi menyedarkan tiga golongan utama iaitu para karyawan seni melalui teater, penjawat awam melalui konvensyen integriti, golongan pelajar IPT melalui seminar kepimpinan berintegriti dan masyarakat Islam umumnya melalui khutbah Jumaat akan membantu negara dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang berakhlak mulia menjelang 2020.
Kepentingan integriti dalam dunia perniagaan pula terserlah dengan kejayaan seorang tokoh perniagaan India, Mukesh Ambani yang mengetuai syarikat gergasi Reliance Group yang mempunyai tenaga kerja melebihi 50,000 orang di seluruh dunia.
Beliau yang baru dinobatkan sebagai lelaki terkaya di India pada 2016 sejak 10 tahun berturut-turut dengan aset dianggarkan bernilai AS$22.6 bilion yang sewaktu diwawancara oleh media mengatakan sentiasa melihat profil integriti seseorang kakitangan dari peringkat pengurusan hingga peringkat bawahan sebelum seseorang pekerja itu diambil untuk bekerja di syarikat miliknya.
Mengikis persepsi buruk masyarakat terhadap penjawat awam adalah satu cabaran utama yang perlu diberikan tumpuan.
Sejajar itu, Unit Komunikasi Korporat yang ditubuhkan di setiap kementerian hendaklah melipat gandakan usaha mengadakan kerjasama strategik dengan pihak media cetak dan elektronik serta media sosial untuk membuat pelaporan positif terhadap pencapaian perkhidmatan awam agar mereka tidak semata-mata mensensasikan kes-kes tangkapan rasuah yang hanya melibatkan segelintir kecil daripada keluarga besar penjawat awam yang berjumlah 1.61 juta itu.
Justeru, penulis ingin mengingatkan kepada seluruh warga penjawat awam khususnya dan seluruh masyarakat agar sentiasa mengingati akan pengajaran ayat terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW iaitu sembilan hari sebelum kewafatan baginda yang bermaksud: “Dan peliharalah diri kamu dari azab Allah (kiamat) iaitu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedangkan seorang pun tidak akan dikurangkan balasannya (dianiaya) sedikit pun.”
PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment