Baru-baru ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mempelawa mereka yang layak untuk menduduki peperiksaan PSL secara dalam talian bagi jawatan Penolong Pegawai Tadbir N29, pada 5 Disember lalu, dari pukul 8 hingga 9.45 malam.

Peperiksaan itu terbahagi kepada dua seksyen iaitu Seksyen A - Pengetahuan Am dan Seksyen B - Daya Menyelesaikan Masalah. Bagi Seksyen A, masa ditetapkan adalah selama 40 minit dengan 50 soalan manakala Seksyen B, selama 40 minit dengan 45 soalan.

Setiap calon perlu berada di hadapan komputer untuk menjawab soalan-soalan yang telah disediakan oleh SPA. Untuk memudahkan mereka menduduki peperiksaan, ramai kakitangan kerajaan menangguhkan waktu balik kerja untuk terus kekal di pejabat.

Bagi pekerja senior yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan, peperiksaan itu amat mencabar terutamanya berkaitan matematik. Untuk mendapat kelulusan bagi menduduki PSL pun sudah memenatkan, inikan pula mereka harus mengingat kembali formula matematik yang sekian lama hilang dalam ingatan.

Di samping itu, ada dalam kalangan penjawat awam yang menghadapi masalah talian internet sehingga tidak dapat mengakses alamat pautan peperiksaan itu sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menduduki peperiksaan.

Seperti diduga, keputusan peperiksaan yang boleh diketahui melalui laman web SPA sejak 13 Disember lalu lebih memihak kepada pekerja muda. Penjawat awam senior yang mengharapkan peluang naik pangkat telah terkandas pada peringkat awal sebelum sempat ke langkah seterusnya iaitu sesi temu duga.

Kalau ada rezeki, pada masa akan datang, mereka mungkin dipelawa sekali lagi untuk menduduki ujian secara dalam talian. Jika tidak, mereka terpaksa mengakhiri kerjaya dengan gred dan jawatan sama sejak mula-mula memasuki perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, saya berharap SPA bertimbang rasa terhadap penjawat awam senior yang mempunyai banyak pengalaman dengan membenarkan mereka menghadiri sesi temu duga bagi jawatan Penolong Pegawai Tadbir N29 tanpa perlu lulus PSL terutama yang berkaitan dengan matematik.

Ingatlah, pengalaman penjawat awam senior bukanlah sesuatu yang boleh dinilai melalui peperiksaan.

RADUAN TAMBI
Putrajaya

Utusan Malaysia Online