Kuala Lumpur: Institusi penghulu dan penggawa perlu berperanan sebagai saluran untuk menyampaikan luahan rakyat kepada kerajaan kerana institusi berkenaan paling dekat dengan peringkat akar umbi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar terhadap kehendak dan keperluan rakyat terutama dalam mengolah dasar dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak melihat ada kelemahan dengan dasar dilaksanakan kerajaan sebaliknya pelaksanaan yang sering dilihat tidak lancar.
"Jika kita lihat institusi dalam satu mukim yang paling dekat dengan rakyat dan akar umbi adalah penghulu dan penggawa. Selama ini saya sebut, sebagai sebuah kerajaan kita mesti mendengar, mengetahui dan merasai denyut nadi rakyat maka penghulu serta penggawa yang boleh merasai denyut nadi rakyat.
"Apa hasrat rakyat, apa kehendak rakyat, apa keluhan rakyat, maka tolonglah sampaikan kepada kerajaan. Kalau tidak sudah tentu kerajaan tidak akan dapat gambaran dan kami di Putrajaya ingin tahu supaya dasar kerajaan kita boleh olah.
"Kalau dasar sudah baik, kena pada tempatnya, pelaksanaannya pula. Selalu saya lihat dalam dasar kerajaan sudah cantik, tetapi pelaksanaannya. Selalu berlaku pelbagai masalah di mana apa kehendak kerajaan tidak kesampaian," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Jati Diri dan Memperkasa Institusi Penghulu, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Yang Dipertua Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia, Ahmad Fuad Z Abidin.
Selain itu, Najib berkata, kerajaan mengambil kira cadangan untuk meneliti kenaikan gred penghulu dan akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan kajian terhadap perkara itu.
Pada masa sama, beliau turut menawarkan tempat kepada penghulu untuk menunaikan ibadah haji yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
"Soal gred biar saya minta JPA kaji dan semak dulu, tetapi apa yang ingin saya umumkan ialah bagi penghulu yang belum menunaikan ibadah haji, saya ingin tawarkan beberapa tempat menerusi Program Haji 1MDBg," katanya.Harian Metro
No comments:
Post a Comment