Wednesday, December 7, 2016

'Kementerian akan ambil tindakan tegas'

Balik Pulau: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan
tegas kepada petugas dan pengamal perubatan kerajaan yang terbabit dalam
sindiket penjualan bayi ini.
  Timbalannya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kes yang berlaku ketika
ini membabitkan klinik dan pusat jagaan bayi swasta di seluruh negara dan
setakat ini, tiada kes penjualan bayi membabitkan pengamal perubatan
kerajaan.
  "Kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan kerajaan
yang terbabit dengan penjualan bayi dan mereka akan dikenakan hukuman
berat.
  "Kes yang berlaku sekarang ini membabitkan klinik dan pusat jagaan bayi
swasta di seluruh negara dan setakat ini tiada kes penjualan bayi yang
membabitkan pengamal perubatan kerajaan," katanya selepas melancarkan
program bot menangkap ikan dan van pelancong di Kuala Pulau Betong,
kelmarin.
  Dr Hilmi berkata, kementerian sedia maklum berhubung kes penjualan bayi
yang berlaku di seluruh negara dan mengambil langkah sewajarnya bagi
membendung masalah berkenaan.
  Beliau berkata, kes membabitkan penjualan bayi sudah lama berlaku di
negara ini, namun pihak KKM sudah merujuk kes berkenaan kepada Polis
Diraja Malaysia (PDRM).
  "Saya sedia maklum kes yang berlaku adalah membabitkan klinik swasta dan
pusat atau rumah perlindungan bayi yang memberi perlindungan kepada wanita
mengandung tanpa bapa.
  "Modus operandi selalu digunakan dalam proses penjualan bayi ini adalah
dengan cara mendaftar bayi terbabit dan memberikannya kepada keluarga
angkat," katanya.


Harian Metro

No comments: