Beliau yang mengibaratkan go­­­longan itu sebagai ‘anak-anak’ manakala pemimpin-pemimpin kerajaan sebagai ibu bapa berkata, setiap perkara yang tidak di­persetujui perlu disuarakan mengikut saluran betul dan harus memp­­unyai adab dan tata-susila kerana akhlak terhadap ibu bapa perlu dijaga dan dihormati.

Beliau menjelaskan, kerajaan sentiasa mendengar setiap luahan, permintaan dan tuntutan golo­ngan itu yang disampaikan melalui Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), justeru sebagai menzahirkan ucapan terima kasih, mereka perlu bertindak menjadi barisan pertahanan jika ada pihak yang mahu ‘memukul’ kerajaan.

“Apabila sesekali mak bapak disepak, diketuk kepala, pergilah tengok bengkak ke tidak, jangan kita ikut ketuk sama atau kita tambah untuk sepak kaki dan ketuk kepala mak bapak. Kita dalam satu acuan dan pentas sama, perbezaan pendapat diizinkan malah agama turut membenarkan, tetapi perbezaan ini harus ada tertibnya.

“Namun, akhlak terhadap mak bapak harus dijaga, hormat kita kepada mereka harus dikekalkan, itulah sebaik-baiknya,” kata­nya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kongres Tahunan CUEPACS Ke-27 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib serta Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid secara peribadi berpendapat bahawa setiap tuntutan CUEPACS adalah munasabah untuk dipertimbangkan kerajaan iaitu melibatkan perlindungan skim insurans untuk setiap kakitangan awam dan kenaikan pangkat secara time-based.

Kata beliau, itu termasuk semakan semula elaun-elaun penjawat awam yang tidak dibuat sejak 14 tahun serta permohonan kongres itu untuk mewujudkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan bagi sektor awam yang akan dibincangkan di Kabinet pada Rabu ini.

Namun beliau menjelaskan, segala tuntutan yang disenaraikan itu akan diteliti dan disesuaikan mengikut situasi semasa.
“CUEPACS mahu perlindungan insurans tanpa melibatkan sebarang pemotongan (gaji) penjawat awam, saya fikir mungkin ada beberapa mekanisme yang boleh difikirkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk melaksanakan perkara ini.

“Kita berharap bila menuntut itu ada timbal balas dari segi produktiviti dan prestasi yang baik daripada penjawat awam,” katanya.

Utusan Malaysia Online