Kuala Lumpur: Penggiliran tugas anggota dan pegawai penguat kuasa yang mempunyai skop kerja kritikal atau sensitif perlu dilakukan dalam tempoh ditetapkan mengikut pekeliling perkhidmatan.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam berkata, berdasarkan panduan pertukaran pegawai awam tahun 2004, jawatan yang sensitif adalah mana-mana jawatan yang dibekalkan dengan kuasa dan terbabit secara langsung dengan pelanggan semasa menguat kuasakan undang-undang.
Katanya, anggota penguat kuasa yang terbabit dengan pelanggan semasa memproses sesuatu permohonan yang boleh menghasilkan pulangan kewangan atau apa-apa bentuk habuan turut termasuk dalam kategori jawatan sensitif.
"Berdasarkan peruntukan undang-undang itu, ketua jabatan boleh menggunakan dasar pertukaran ke atas mana-mana tenaga kerjanya yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun dan tidak melebihi lima tahun dalam jawatan sensitif.
"Selain itu, seseorang pegawai juga boleh ditukarkan ketua jabatan atas permintaan pegawai itu sendiri tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dasar pertukaran ini akan mengurangkan potensi pegawai dan anggota penguat kuasa melakukan penyelewangan atau terbabit dalam jenayah sindiket.
"Saya percaya mana- mana agensi mempunyai keupayaan risikan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota mereka yang berisiko dan mempunyai kedudukan dalam membantu aktiviti haram kereta klon sebelum mengambil tindakan segera ke atas mereka.
"Pembabitan pegawai penguat kuasa dalam sindiket klon adalah kesalahan jenayah dan boleh dibuang kerja oleh jabatan," katanya.
Menurutnya, pengarah negeri dan unit integriti jabatan perlu lebih proaktif dalam mengawasi aktiviti pegawai penguat kuasa dan penyeliaan efektif dalam kaedah menjalankan tugas dari risiko penyelewengan kuasa.
Katanya, orang ramai juga tidak harus menyalahkan agensi terbabit secara keseluruhannya hanya kerana terdapat segelintir kecil anggota agensi yang tamak dan mengambil kesempatan atas kepercayaan diberikan.
"Bagaimanapun, jika kakitangan yang melakukan salah laku itu dibiarkan, ia dikhuatiri akan merebakdalam kalangan anggota lain.
"Justeru, usaha menangani salah laku anggota dan penguatkuasa perlu dibuat secara menyeluruh.
"Anggota yang terbabit dengan salah laku sewajarnya segera dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman setimpal. Kita tidak akan kompromi dan bertolak ansur dalam soal integriti penjawat awam," katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan bersiri Harian Metro berhubung rangkaian sindiket kereta klon di negara ini apabila anggota dan dalangnya didapati turut membabitkan penguat kuasa termasuk polis, kastam dan PUSPAKOM.Harian Metro
No comments:
Post a Comment