Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Moha­mad Zabidi Zainal berkata, pusat sehenti itu bakal menawarkan perkhidmatan tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Tambah Mohamad Zabidi, setelah dilaksanakan kelak, rakyat di negeri ini boleh mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan-jabatan terlibat hanya melalui satu kaunter.

“Berdasarkan laporan yang dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, UTC Perak merupakan UTC yang pa­ling ramai pelanggan apabila mencatatkan hampir dua juta setahun.

“Jadi sudah pasti, satu pendekatan baharu yang kritis perlu kita lakukan di sini untuk memudahkan rakyat, jadi sebab itu kita mulakan di sini kaunter 1Serve sebagai permulaan iaitu satu kaunter boleh buat macam-macam sebelum diperluaskan ke peringkat lebih besar serta ke tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Apresiasi 1Serve dan Pra Pelancaran 1Serve@UTC Perak di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Mohamad Zabidi turut melancarkan Buku Coffee Table NBOS@JPA:Horizon Baharu Perkhidmatan Awam dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 53 penerima yang terdiri daripada agensi pelaksana, penyelia, petugas barisan hadapan dan tenaga pengajar 1Serve.

Utusan Malaysia Online