Monday, December 5, 2016

Mohamad Zabidi bukukan syarahan

Georgetown: Pengalaman menyampaikan syarahan menerajui beberapa agensi dan
organisasi tidak banyak didokumentasi atau dirakam dalam bentuk buku,
menyebabkan ilmu itu gagal disebarkan kepada umum.

Kesedaran itu mendorong Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri
Mohamad Zabidi Zainal mendokumentasi semua siri syarahannya dalam program
Syarahan Perdana Transformasi Perkhidmatan Awam, yang bermula di
Universiti Sains Malaysia (USM) pada April lalu.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan atas kesedaran dan minatnya terhadap
buku sejak kecil, selain mahu terus mempersada tradisi keilmuan dalam
kalangan penjawat awam.

"Sebaik dilantik menyertai program 'CEO Faculty' anjuran Kementerian
Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 1 Januari lalu, saya terus mengatur gerak
untuk berkongsi dan meniupkan aspirasi kepada warga universiti awam (UA).

"Kembara Syarahan Perdana Transformasi Perkhidmatan Awam sudah merentasi
seluruh negara, bermula di USM pada 11 April lalu dan yang terakhir adalah
di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 22 November," katanya selepas
pelancaran buku berkenaan di Rumah Teh Bunga, di sini semalam.

Buku bertajuk Mohamad Zabidi Zainal: Mempersada Tradisi Keilmuan,
Syarahan Perdana Transformasi Perkhidmatan Awam itu dilancarkan oleh Yang
di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan
isteri Mohamad Zabidi, Puan Sri Asmahan Ismail.

Mohamad Zabidi berkata, siri syarahan berkenaan banyak mengangkat dan
mengisahkan perkembangan perkhidmatan awam secara umum, selain mengupas
dengan terperinci perubahan konsep dan falsafah perkhidmatan awam sehingga
agenda transformasi.
 

Berita Harian Online

No comments: