Tuesday, December 6, 2016

Pengkhianat negara!

Kuala Lumpur: Pegawai dan anggota penguat kuasa yang terbabit dalam
sindiket klon kereta boleh dilabel sebagai pengkhianat negara.
  Naib Presiden Gred Penguatkuasaan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Hamzah Masri berkata, tindakan golongan itu
tidak boleh dimaafkan kerana mereka arif mengenai selok-belok
undang-undang namun, tergamak bersekongkol dengan sindiket klon.
  "Mereka ini boleh dianggap pengkhianat negara berikutan sanggup mengaut
hasil negara untuk kepentingan sendiri.
  "Mereka patut dikenakan hukuman lebih berat daripada orang awam dan
setiap agensi kerajaan patut menjalankan siasatan terperinci mengenai
pembabitan kakitangan mereka dalam sindiket klon," katanya kepada Harian
Metro.
  Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai
kewujudan sindiket klon kebal yang anggota dan dalangnya didapati turut
membabitkan penguat kuasa termasuk polis, kastam dan PUSPAKOM.
  Menurut Hamzah, dia sendiri yang bekerja di bahagian penguatkuasaan
sentiasa mengingatkan diri untuk tidak terbabit dalam apa jua kesalahan
jenayah berikutan menggalas tanggungjawab dan harapan negara.
  "Setiap pegawai dan anggota penguat kuasa mempunyai tanggungjawab besar
ketika mula menyertai mana-mana pasukan penguat kuasa tidak kira Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam
Diraja Malaysia (JKDM) mahupun PUSPAKOM atau pihak berkuasa tempatan.
  "Masing-masing berikrar untuk menjalankan tugas dengan jujur dan amanah
demi bangsa dan negara tetapi mereka yang terlatih dan menerima pelbagai
latihan undang-undang pula yang menjadi 'payung' kepada sindiket klon,"
katanya.
  Katanya, dia sebagai sebahagian daripada CUEPACS kecewa dengan
pembabitan anggota penguat kuasa dalam sindiket klon.
  "Saya juga akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula
undang-undang berkaitan kes penyalahgunaan kuasa penguat kuasa," katanya.
  Hamzah berkata, tindakan itu membolehkan hukuman sedia ada dipinda
menjadi lebih berat dan setimpal untuk dikenakan terhadap pesalah
terbabit.


Harian Metro

No comments: