Saturday, December 3, 2016

Lesen senjata api mudah diperoleh guna 'laluan belakang'

Georgetown: Ada pihak tertentu dipercayai mampu mendapatkan lesen senjata
api bagi kegunaan pengawal peribadi di negara ini secara mudah dengan
menggunakan 'laluan belakang'.

  Proses itu disifatkan berbeza daripada prosedur sedia ada yang perlu
dipatuhi dan disifatkan ketat dengan pelbagai syarat rumit serta mengambil
masa sehingga 10 bulan.

  Bekas Presiden Persatuan Pengawal Peribadi (BGM), Bakrim Eboh, berkata
pengawal peribadi yang mendapatkan lesen senjata api berdepan pelbagai
prosedur dengan syarat rumit, sebelum diluluskan Polis Diraja Malaysia
(PDRM).

  Ujian kesihatan menyeluruh

  Bakrim yang kini berkhidmat sebagai Koordinator Bahagian Latihan
Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), berkata
antara proses itu termasuk ujian kesihatan menyeluruh merangkumi saringan
kencing serta semakan latar belakang pemohon dengan Kementerian Dalam
Negeri (KDN).

  "Secara peribadi, saya tidak mahu proses memiliki lesen ini diketatkan
lagi. Syarat dan proses sedia ada, sudah cukup baik dan 'menyeksakan'
pemohon, terutamanya syarikat keselamatan.

  "Namun, saya akui ada juga yang mendapatkan lesen senjata api secara
mudah iaitu menggunakan 'laluan belakang'. Bagi saya, itu hak
masing-masing tetapi apabila ada perkara tidak diingini berlaku, perlulah
bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

  Beliau mengulas kejadian tembakan oleh seorang pengawal peribadi, yang
dilaporkan mempunyai masalah mental, mengamuk sebelum menembak mati
majikannya berstatus Datuk dalam kejadian di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong
Eu, dekat sini, malam kelmarin.

  Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, pengusaha pusat hiburan terbabit
bersama dua orang awam mati di lokasi, manakala lima lagi cedera.

  Mengulas lanjut, Bakrim mengakui pengawal peribadi sering berdepan
dengan tekanan, terutamanya apabila melindungi orang berkepentingan
seperti golongan atasan.

  Katanya, tugas pengawal peribadi juga tidak mudah dilakukan individu
yang tidak mempunyai keyakinan diri kerana membabitkan nyawa seseorang.


Berita Harian Online

No comments: