Wednesday, December 21, 2016

Syor CUEPACS dibawa ke Kabinet esok: Zahid

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan
membawa cadangan CUEPACS berkaitan semakan semula elaun kakitangan awam
dan tuntutan lain dalam mesyuarat Kabinet, esok.

  Timbalan Perdana Menteri, berkata tuntutan dibangkitkan CUEPACS itu
munasabah kerana ada elaun perkhidmatan tidak disemak selama 14 tahun.

  Katanya, tuntutan supaya kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan Gaji
Kebangsaan (MPGK) dan mewujudkan skim insurans khusus untuk penjawat awam
juga akan dibawa ke mesyuarat itu.

  Lihat beberapa mekanisme

  "Saya fikir ada beberapa mekanisme boleh difikirkan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (KKPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk
memenuhi permintaan yang dibangkitkan itu.

  "Tentu munasabah apabila MPGK diminta untuk dilaksanakan, perkara ini
akan saya bawa ke dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

  "Permintaan lain termasuk melihat elaun yang tidak disemak dalam tempoh
14 tahun ini, saya akan minta Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri Richard
Riot Jaem) untuk bawa ke Kabinet pada Rabu ini (esok)," katanya ketika
merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-27 di sini, semalam.

  Yang turut hadir, Richard Riot dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul
Mutalib serta Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

  Ahmad Zahid berkata, penjawat awam perlu komited berkhidmat dan
meningkatkan produktiviti dalam perkhidmatan sebagai timbal balas terhadap
komitmen kerajaan memenuhi permintaan CUEPACS selama ini.

  Ikut situasi semasa

  Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang permintaan yang dikemukakan
juga perlu mengikut situasi semasa serta bergantung kepada sumber kewangan
kerajaan.

  Sehubungan itu, katanya, penjawat awam perlu terus memberi sokongan dan
membela kerajaan terutama ketika kerajaan berdepan pelbagai tekanan serta
tohmahan daripada pelbagai pihak.

  Ketika menyatakan harapan itu, Ahmad Zahid menggunakan analogi penjawat
awam sebagai anak, manakala ibu bapa sebagai pihak kerajaan.

  "Sebagai anak, tidak sepatutnya ikut sekali 'sepak kaki dan ketuk kepala
ibu bapa' kalau ada orang lain yang buat begitu.

  "Walaupun berbeza pendapat, anak tetap perlu hormat dan membela ibu bapa
jika ada yang sepak kaki dan ketuk kepala mereka," katanya.

Berita Harian Online

No comments: