ZULKIFLEE BAKAR (zulkifleebakar@gmail.com)
BARU-baru ini seorang sahabat lama menghubungi penulis, dia menceritakan bagaimana kakak iparnya yang bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan kini menyokong pembangkang, sebelum itu suaminya yang pernah bekerja dengan pasukan keselamatan turut berbuat demikian.
Sebenarnya penulis tidak terkejut dengan senario itu. Sudah banyak cerita penulis dengar bagaimana ada penjawat awam yang mencari rezeki dengan menjamah wang kerajaan akhirnya kembali menentang kerajaan. Malah ada pula sampai ke akhir hayat makan pencen kerajaan tetapi tetap tidak menyokong kerajaan.
Sememangnya dalam sebuah negara demokrasi, seseorang itu berhak mengundi dan memilih siapa sahaja dalam pilihan raya, malah mereka juga boleh menjalankan aktiviti siang bekerja di pejabat kerajaan manakala malam menghadiri ceramah pembangkang. Tetapi dari segi moralnya, mereka yang berbuat demikian tidak mempunyai pendirian. Mana mungkin setiap hari menjamah wang kerajaan tetapi dalam masa sama ada antara mereka memaki hamun kerajaan dalam laman-laman sosial.
Kalaulah berpendapat perasaan tidak menyokong kerajaan itu boleh menyara kehidupan berhenti sahaja daripada berkhidmat dengan kerajaan, carilah rezeki dengan cara sendiri. Dan apabila pilihan raya undilah siapa yang mereka mahu. Tiada gunanya menjadi manusia hipokrit dengan bekerja dengan kerajaan, tetapi hati dan perasaan menyokong pembangkang. Kita akui memang ada kelemahan yang perlu diperbaiki dalam sektor awam, bagaimanapun kerajaan bukanlah pekak atau buta untuk tidak memahami apa yang berlaku. Dari semasa ke semasa melalui tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kerajaan sentiasa berusaha memperbaiki perkhidmatan tersebut khusus dalam soal kebajikan kakitangan awam.
Bagaimanapun kita harus menerima hakikat tidak semua tuntutan itu boleh dipenuhi. Ada kalanya kerajaan melakukan secara berperingkat. Apa yang kerajaan minta daripada sektor awam adalah berkhidmat dengan penuh amanah. Namun malangnya, ada yang sanggup menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan kepada kerajaan. Segelintir sanggup ‘berkongsi’ maklumat dengan pembangkang biarpun ada antaranya diklasifikasikan sebagai rahsia.
Atas sebab itulah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengingatkan penjawat awam agar tidak sesekali menjadi kumpulan yang turut sama menghentam kepemimpinan kerajaan semata-mata mahu menzahirkan perasaan tidak puas hati atau meluahkan perbezaan pendapat.
Kenyataan Ahmad Zahid itu bukanlah satu tuduhan melulu, tetapi itulah yang berlaku sekarang. Berapa ramaikah penjawat awam yang menggunakan laman-laman sosial untuk mengecam kerajaan sedangkan mereka ‘menyuap mulut’ keluarga mereka dengan rezeki yang diperoleh daripada kerajaan?
Justeru adalah wajar pemerhatian khusus dilakukan ke atas semua penjawat awam yang bersikap demikian. Ambillah tindakan ke atas mereka sebagai pengajaran kepada kakitangan lain. Mungkin tindakan disiplin akan dianggap zalim, tetapi soalnya siapakah lebih zalim? Kelompok yang menjadi ‘pengkhianat’ dalam perkhidmatan awam atau kerajaan yang sentiasa berusaha memperbaiki kebajikan kakitangan sektor awam?
Oleh itu, kerajaan tidak perlu lagi bertolak ansur dengan golongan seumpama itu. Memang hak mereka untuk mengundi sesiapa tetapi biarlah fahaman politik itu hanya diterjemahkan ketika pilihan raya, bukannya menjadi virus dalam perkhidmatan awam.
Bagaimanapun pada masa sama, kita menyokong penuh kenyataan Jabatan Peguam Negara yang mahu kajian dilakukan terhadap hukuman denda maksimum sebanyak RM100 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) bagi kesalahan menggunakan perkataan tidak sopan.
Dalam soal itu, penulis juga berpendapat sudah tiba masanya kajian juga dilakukan bagi mereka yang menghalang dan memaki hamun penjawat awam. Denda RM100 adalah terlalu ringan. Adalah wajar kerajaan mempertimbangkan mengenakan hukuman yang lebih berat, kalau boleh biarlah hukuman penjara ditambah dan dijadikan mandatori, maknanya bukan sekadar denda.
Ini memandangkan kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak begitu mudah menghina atau menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas. Hakikatnya, kita sudah bosan dengan penghinaan serta kebiadaban sesetengah pihak terhadap penjawat awam khususnya anggota penguat kuasa. Ada kalanya mereka dicaci dengan pelbagai perkataan yang cukup biadab, tetapi mereka tetap melaksanakan tugas dengan dedikasi.
Lihatlah sahaja bagaimana ada ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaki dengan pelbagai gelaran hanya kerana mereka melaksanakan tugas mengikut undang-undang. Negara ini ada peraturan dan saluran untuk membuat aduan, kalau benar ada penjawat awam yang melakukan kesalahan, buatlah laporan mengikut saluran yang betul bukannya dengan memaki hamun.
Begitulah juga penjawat awam, kalau mereka tidak berpuas hati dengan apa-apa mereka juga ada saluran untuk membuat aduan, bukannya dengan melepaskan geram di laman sosial. Tindakan itu tidak akan menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam, apatah lagi yang terlibat hanya segelintir kerana mengalami masalah krisis identiti.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment