Sunday, December 11, 2016

3 kes profil tinggi disiasat SPRM Kelantan

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mengesan individu dan pegawai kanan yang terbabit dalam tiga kes rasuah profil tinggi di negeri ini. 

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusoff, berkata pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci mengenai kes terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut. "Siasatan menyeluruh sedang dibuat dengan kerjasama beberapa pihak serta orang awam.

Saya juga berharap individu terbabit tampil bekerjasama dengan SPRM supaya siasatan lanjut dapat dijalankan secara telus," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia peringkat negeri di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini. 

Moh Samsudin bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai individu dan sektor yang disiasat suruhanjaya berkenaan. 

Beliau berkata, SPRM Kelantan juga berusaha mengurangkan kes rasuah dalam perkhidmatan kerajaan dan rasuah di jalanan membabitkan peniaga, kontraktor dan orang awam menjelang 2020. 

Katanya, antara kes rasuah tertinggi di Kelantan adalah dalam sektor pembinaan dan penyediaan kemudahan asas pembangunan kerana dibina mengikut spesifikasi ditetapkan. 

"Tahun ini kita membuka 88 kertas siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembangunan dan kes terpencil. Daripada jumlah itu, 32 kes selesai dan sehingga bulan ini seramai 12 individu ditangkap," katanya.


Berita Harian Online


No comments: