Thursday, April 30, 2009

Bekas KSU kementerian disiasat

KUALA LUMPUR 29 April - Seorang bekas Ketua Setiausaha sebuah kementerian kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima sogokan lebih RM50,000 daripada sebuah syarikat baru-baru ini.

Difahamkan ia merupakan sebuah syarikat rasmi yang dilantik kerajaan untuk menguruskan satu projek kementerian berkenaan.

Pegawai kanan itu kini ditukarkan ke sebuah jabatan lain yang dikatakan ekoran siasatan SPRM itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini bagaimanapun enggan mengulas mengenai siasatan itu.

Difahamkan, kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat untuk membuat keputusan sama ada mendakwa beliau atau sebaliknya.

Dalam pada itu, difahamkan kertas siasatan tersebut kini berada di peringkat akhir dan hanya memerlukan 'sentuhan' akhir untuk penelitian sebelum dihantar kepada DPP.

Pada 21 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengumumkan pelantikan dan pertukaran 13 pegawai perkhidmatan awam daripada kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bagi menjawat jawatan kanan dalam perkhidmatan awam.

Pelantikan dan pertukaran itu, kata Mohd. Sidek, berikutan penstrukturan semula fungsi-fungsi agensi dan bahagian di beberapa kementerian dan susulan kepada susunan baru Kabinet seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 9 April lalu.

Utusan Online

No comments: