Saturday, April 18, 2009

Pegawai imigresen ditahan

PULAU PINANG 17 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan 19 orang termasuk seorang pegawai Jabatan Imigresen yang dipercayai terlibat dalam kegiatan membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin ke negara ini.

Kesemua mereka ditahan anggota penguatkuasa suruhanjaya itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) kira-kira pukul 7 pagi.

Pengarah SPRM Negeri, Latifah Md. Yatim berkata, selain pegawai agensi penguatkuasa kerajaan itu, mereka yang ditahan ialah 15 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki rakyat tempatan.

"SPRM menahan mereka setelah menerima maklumat bahawa semua warga Bangladesh terbabit yang mahu menaiki pesawat tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Penahanan pegawai Jabatan Imigresen itu disebabkan kita musykil kenapa warga asing itu boleh menaiki kapal terbang dan melepasi kawalan Imigresen dengan mudah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Pengurusan Integriti SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Latifah berkata, hasil daripada risikan SPRM dan maklumat orang ramai, pihaknya percaya berlakunya kegiatan rasuah antara warga Bangladesh dan pegawai Imigresen berkenaan.

Kata beliau, pihaknya turut percaya setiap warga asing itu membayar RM1,000 hingga RM2,000 untuk keluar dan masuk ke negara ini tanpa menggunakan dokumen sah.

"Dalam sesuatu kes rasuah, penerima dan pemberinya dianggap melakukan kesalahan dan boleh disabitkan kesalahan.

"Kes ini sedang disiasat mengikut Akta SPRM 2009 yang mana memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan," jelasnya.

Dalam pada itu, Latifah turut memaklumkan kesemua warga Bangladesh itu akan diserahkan kepada pihak Imigresen memandangkan mereka berada di negara ini tanpa dokumen sah.

"Selebihnya akan ditahan untuk membantu siasatan pihak kami," tambahnya.

Utusan Online

No comments: