SEKARANG ramai orang sudah mula bercakap mengenai KPI. Di bawah pentadbiran Perdana Menteri baru, Najib Tun Razak beliau meletakkan KPI di atas bahu setiap menteri Kabinetnya. KPI ini akan menentukan nasib menterinya dalam tempoh enam bulan akan datang, atau setiap enam bulan - atau dua kali setahun?
Buat masa ini, tiada lagi formula yang diketahui umum mengenai tahap prestasi yang akan diukur itu.
Tapi apa itu KPI? Dalam terjemahan bahasa Melayu ia bermakna Indeks Prestasi Utama. Dalam pengertian pengurusan yang mudah, KPI banyak digunakan dalam mengukur sejauh mana keberkesanan sesebuah organisasi atau individu dalam menyempurna dan melaksana tugasan, matlamat serta objektif yang diberikan kepadanya.
Biasanya, sesebuah organisasi dan perniagaan menggariskan beberapa KPI yang perlu dinilai kemajuannya. Penilaian sesebuah perniagaan, misalnya ialah untuk melihat sama ada untungnya meningkat dan tahap kepuasan pelanggannya juga turut meningkat.
Ini bermakna, keuntungan dan kepuasan bergerak seiring. Untung yang dibuat, secara sah, haruslah berbaloi mengikut kehendak dan kaca mata pelanggan. Tahap kepuasan pelanggan tidak boleh diketepikan, kerana jika pelanggan tidak puas, sokongan mereka akan merosot. Jika sokongan merosot, perniagaan itu juga akan merosot. Pelanggan perlu berpuas hati dengan wang yang dibelanjakan untuk produk atau perkhidmatan itu, walaupun harganya sedikit mahal.
Begitu juga dalam pentadbiran kerajaan - ia juga mempunyai pelanggannya yang tersendiri yang perlu dipuaskan. Perkara kecil boleh jadi besar jika ia tidak ditangani dengan betul. Bagi politik - pelanggannya ialah rakyat atau pengundi. Jika pelanggan itu puas hati, jumlah kerusi dalam Parlimen juga akan merosot. Begitulah sebaliknya.
Konsep yang sama jugalah - mungkin - yang akan diterapkan oleh Najib bagi menilai prestasi, keupayaan, kemajuan menteri-menterinya dalam tempoh enam bulan ini. Namun, penilaian itu mesti juga mengambil kira pertimbangan politikal, selain aspek pengurusan semata-mata.
Dalam suasana ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu - juga suasana politik tempatan yang muram, satu bentuk pengurusan yang kreatif perlu dilaksanakan oleh semua pihak. Seperti kata guru pengurusan terkenal, Tom Peters "Crazy times call for crazy organizations" (Masa yang gila seperti ini memerlukan organisasi yang turut gila). Gila dalam konteks ini ialah gila-gila, radikal atau kreatif. Kita harus melihat sesuatu melampaui (beyond) ibu jari kaki kita.
Kita tidak pasti apakah hukumannya jika ukuran KPI itu tidak mencapai ke tahap yang dikehendaki (oleh Najib). Apakah menteri itu akan diberi amaran? Apakah mereka akan diberi surat tunjuk sebab? Apakah tempoh percubaan (probation) mereka akan dilanjutkan tiga bulan lagi (seperti yang diamalkan oleh kebanyakan organisasi)? Atau menteri-menteri itu akan dipecat dan ditukar?
Ia sebenarnya adalah cabaran sebenar Najib. Kita mahu Najib mengotakan kata-katanya semasa memperkenalkan langkah baru di bawah pentadbirannya itu. Apabila sampai waktunya kelak - kira-kira Oktober ini (cukup enam bulan) - seluruh rakyat akan menunggu pengumuman penting yang akan dibuat beliau.
Apakah Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan akan mencapai ke tahap KPI yang sebenar? Atau KPI Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merosot? Walaupun agak sukar untuk menilai kedua-dua menteri itu, tapi kita jangka satu formula akan ditetapkan oleh Najib.
Dr. Rais Yatim misalnya, sudah tentu akan membuat satu 'reformasi - cepat, bukan evolusi - perlahan' untuk melihat berlaku perubahan dari segi kepimpinannya dalam kementerian itu. Begitu juga dengan Mustapa Mohamed, mungkinkah usaha menarik FDI (pelaburan terus asing) negara akan dipertingkatkan di masa suasana ekonomi global sedang menjunam ini?
Bolehkah mereka melakukannya dalam tempoh enam bulan ini? Dr. Rais mungkin boleh, tapi Mustapa, bagaimana? Ataupun untuk berlaku adil kepada semua menteri, tempoh enam bulan ini akan dilakukan oleh mereka bagi melakukan pembaikan, pembersihan dan memperbaiki mana-mana kelemahan di peringkat kementerian masing-masing, sebelum tugas sebenar dilakukan untuk enam bulan akan datang.
Apa sekalipun, rakyat sedang memerhati perkembangan ini. Sebaik sahaja cabaran itu diletakkan ke bahu mereka 9 April lalu - detik-detik saat telah pun berdetik. Ia semacam satu acara saringan (heat) lumba lari; yang kuat akan berjaya, yang kuat sikit akan juga berjaya dan yang corot akan terpilih berdasarkan catatan masa, dan yang paling corot akan terkeluar.
Rakyat tidak mahu melihat lagi kegagalan sistem kad repot yang diamalkan semasa pentadbiran lalu, yang ketika ia dilaksanakan bapak-bapak menteri berpusu-pusu turun ke padang - pastinya bersama-sama jurugambar akhbar dan pemberita - bagi menunjukkan kepada perdana menteri yang mereka bekerja.
Pihak akhbar, pada masa itu 'dipaksa' untuk memastikan yang berita lawatan mereka itu - berita turun ke padang itu - berita bertemu rakyat itu - berita penyampaian bantuan itu, disiarkan oleh media. Jika tidak, kata mereka susah untuk menyiapkan buku laporan prestasi mereka.
Dalam pentadbiran baru ini, apakah itu juga caranya? Atau ada cara lain yang lebih profesional, dan mengikut cara penilaian korporat?
Ramai pengamal media memberi ramalan pada masa itu yang sistem kad repot itu tidak akan bertahan lama. Memang benar, selepas panasnya mulai kebah - semua orang balik ke pangkal jalan. Tiada lagi kad repot. Ia dibiarkan sejuk. Benarlah kata pepatah 'hangat-hangat tahi ayam'.
Sekali lagi ditegaskan, rakyat sedang memerhati setiap pergerakan Kabinet baru ini. Sama ada Kabinet baru ini mantap atau tidak, biarlah ia menjadi persepsi, namun kita semua mahu melihat ia diuruskan dengan cemerlang dan ditadbir dengan telus dan berintegriti.
Kita berharap pentadbiran baru di bawah YAB Najib ini dapat melaksanakan sistem pentadbirannya tanpa rasa tergugat dengan tekanan luar. Najib harus kebal dengan kekuatan politik, politics of strength yang ada padanya dan tidak dipengaruhi oleh politik ketakutan, politics of fear.
Akhir sekali, ramai turut bertanya, jika Najib menilai KPI jemaah menterinya, siapa pula yang akan menilai KPI beliau? Rakyatkah?
Apa pun, rakyat sedang menunggu 170 hari lagi atau cukup enam bulan usia Kabinet ini dengan penuh sabar. Selamat berkhidmat dengan tekun pak menteri sekelian.
No comments:
Post a Comment