Wednesday, April 1, 2009

Penjelasan JPA isu pencen bekas tentera

JABATAN Perkhidmatan Awam merujuk kepada surat Mat Isa Ismail, Bayan Baru, Pulau Pinang bertajuk Pertimbangkanlah Pencen Saya yang disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 9 Mac 2009.

Adalah dimaklumkan bahawa tempoh-tempoh perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya boleh diagregetkan dan diambil kira untuk faedah persaraan seperti mana yang diperuntukan di bawah Akta Pencen 1980 (Akta 227). Tempoh perkhidmatan tersebut adalah meliputi:

- Tempoh perkhidmatan lepas di dalam angkatan tentera, Tentera Malaya/Malaysia yang boleh dimasuk kira bagi maksud pengiraan faedah persaraan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77) dan peraturan yang diperbuat di bawahnya; atau

- Tempoh perkhidmatan lepas di dalam angkatan tentera negara asing (termasuk Angkatan Tentera British dan Pasukan Commonwealth), di mana pekerja yang berkaitan berikutnya memasuki Angkatan Tentera Malaya/Malaysia dengan syarat perkhidmatannya dengan angkatan tentera asing itu diterima untuk memasuki oleh Majlis Angkatan Tentera.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, penulis didapati pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera British tetapi apabila tamat perkhidmatan dengan tentera British, beliau tidak menyambung perkhidmatannya di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Oleh itu, beliau tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas untuk melayakkan diri untuk mengambil kira tempoh perkhidmatannya dalam tentera British dan hanya tempoh perkhidmatan beliau semasa berkhidmat sebagai pemandu sahaja yang diambil kira bagi urusan pengiraan faedah persaraan.

Untuk penjelasan lanjut, penulis boleh menghubungi jabatan ini di talian 03-8885 4906/4475/4477.

NIK NORAINI NIK YA
Unit Komunikasi Korporat,
Jabatan Perkhidmatan
Awam Malaysia

No comments: