SUNGAI PETANI 23 April - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihatkan golongan guru supaya sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa bagi menghadapi situasi yang makin mencabar kini.
Baginda bertitah, guru digalakkan berbuat demikian bagi mewujudkan nilai tambah dan perubahan paradigma dalam perkhidmatan awam.
''Tanpa peningkatan pengetahuan dan kemahiran, sukar bagi para lulusan dan guru sebagai kakitangan awam untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik.
''Oleh itu, peningkatan ilmu pada diri mereka perlu diberikan perhatian.
''Ini kerana, mereka akan memegang peranan sebagai pakar rujuk kepada para pelajar sekolah, rakan sejawat serta masyarakat keseluruhannya,'' titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-28, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.
Teks ucapan baginda dibacakan oleh Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.
Seramai 334 graduan menerima Diploma Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) peringkat sekolah rendah pada konvokesyen yang berlangsung di Dewan Munsyi IPGM itu.
Daripada jumlah tersebut, 187 orang lulusan mencapai pangkat cemerlang sementara selebihnya pangkat kepujian.
Menurut Sultan Kedah, seseorang guru juga perlu memiliki sahsiah dan tingkah laku terpuji ketika
melaksanakan tugas mereka sama ada di dalam ataupun luar sekolah.
Malah, titah baginda, guru juga harus menjadikan diri mereka sebagai pendidik yang mempunyai pegangan agama kukuh.
''Dengan adanya nilai agama, guru akan menjadi pendidik yang lebih bertanggungjawab, berilmu dan berintegriti.
''Semakin tinggi iman dan takwa seseorang pendidik, maka tinggilah martabat dirinya pada mata masyarakat," titah baginda.
Sementara itu, Pengarah IPGM Kampus Sultan Abdul Halim, Saadiah Bani berkata, nama kampus yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Abdul Halim (IPSAH) ditukar kepada IPGM sejajar dengan penambahbaikan institusi latihan perguruan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, bilangan kakitangan akademik turut
ditingkatkan kepada 192 orang sementara kakitangan sokongan juga ditambah kepada 92 orang.
''Penambahan ini bukan saja berlaku terhadap kuantiti tetapi ke atas kualiti.
''Sehingga kini, bilangan guru pelatih yang mengikuti kursus Perguruan Sepenuh Masa dan Kursus Dalam Cuti adalah seramai 1,834 orang," jelasnya.
Sementara itu, seorang graduan, Mohd. Soleh Hamid, 26, yang sebelum ini mengikuti kursus pengajian Pendidikan Jasmani dipilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan pada majlis konvokesyen tersebut.
Turut dipilih sebagai penuntut terbaik dalam bidang masing-masing ialah Azra Hiryani Salam (kokurikulum), Nasriah Hafizamamnullah (praktikum) dan Fatimatuzzahrah Fadzin (akademik).
Utusan Online
No comments:
Post a Comment