Wednesday, April 22, 2009

Didakwa terima rasuah RM75,000

KUALA LUMPUR 21 April - Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak yang pernah didakwa atas tuduhan meminta rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada awal tahun ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM75,000.

Supritendan Abd. Karim Abu Hassan, 55, didakwa menerima rasuah daripada Lim Kin Lan, 36, sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap abangnya, Lim Ching Jing, 38, yang disyaki terlibat dalam sindiket memotong kereta.

Tertuduh yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga tuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama seorang lagi didakwa menerima suapan wang tunai RM30,000 melalui sebuah akaun Maybank bagi tujuan tersebut di Maybank Cawangan Segambut, Jalan Segambut Pusat, di sini pada 30 Mei 2007.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menerima wang tunai RM35,000 dan RM10,000 lagi melalui cek ke dalam akaun bank tersebut di tempat yang sama pada 31 Mei dan 12 Oktober 2007.

Di mahkamah sama, seorang pembantu kedai peralatan elektrik, Soo Chong Man, 40, yang dipercayai orang perantara dalam kes tersebut turut mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan serupa yang dibacakan secara berasingan.

Chong Man didakwa menerima rasuah RM75,000 daripada Kin Lan sebagai dorongan kepada Abd. Karim agar tidak mengambil tindakan terhadap Ching Jing bagi tujuan, tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana satu lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon supaya kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memohon kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 5 Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi mereka di mahkamah tersebut.

Rosbiahanin yang membenarkan permohonan itu, memerintahkan kes itu disebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 6 Mei ini. Kedua-dua tertuduh juga dikenakan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Abd. Karim diwakili dua peguam, Jaspal Singh Mann dan Gurcharan Singh Sohan manakala peguam CN Sritharan mewakili Chong Man.

Pada 7 Januari lalu, Abd. Karim dan Chong Man masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan meminta suapan RM10,000 daripada Ching Jing yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam sindiket memotong kereta.

Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan pada pukul 5 petang, 19 September 2007 di Restoran Old Town White Coffee di No. 2 dan 4, Jalan SJ 6, Taman Selayang Jaya, Gombak dekat sini.

Selain di mahkamah di sini dan Shah Alam, kedua-dua tertuduh dijangka didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Klang minggu depan.

Utusan Online

No comments: