KUCHING 12 April - Jabatan kerajaan perlu meningkatkan sistem penyampaian dengan bertindak cepat terhadap aduan awam dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata, jabatan kerajaan juga mesti memenuhi harapan masyarakat untuk menyelesaikan masalah mereka dalam usaha mendapatkan kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, untuk tujuan tersebut jabatan terbabit harus bertindak pantas dan cekap dari segi perkhidmatan awam.
''Jika anda (jabatan kerajaan) bertindak pantas terhadap permintaan dan mengatasi masalah yang dialami rakyat secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan serta sokongan daripada masyarakat.
''Rakyat juga perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa dengan sewajarnya masalah mereka dalam tempoh yang cepat setiap kali menghadapi sebarang masalah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Komuniti Jalan Arang di Pusat Ibadat Ekumeni Kristian di sini malam tadi.
Khoon Seng berkata, jumlah penduduk yang menetap di Jalan Arang semakin bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, apabila populasi meningkat akan menyebabkan peningkatan terhadap masalah sosial malah keperluan infrastruktur juga akan meningkat.
Sehubungan itu, tambahnya, orang ramai perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari penyelesaian dalam mengatasi masalah tersebut secara bersama.
''Masyarakat dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sebagai saluran untuk menyuarakan masalah mereka tetapi berhubung terus dengan jabatan kerajaan yang terbabit," ujarnya.
Dalam pada itu, Khoon Seng berharap lebih ramai penduduk di kawasan itu menyertai persatuan bagi memupuk hubungan lebih baik.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment