Thursday, April 9, 2009

Penjelasan Maritim

SAYA merujuk kepada surat pembaca bertajuk Nasib PPPM Lumut bagaikan telur di hujung tanduk oleh penulis 'Hati Yang Terluka, Lumut, Perak' yang disiarkan pada 19 Mac 2009 di akhbar ini.

Sebagaimana saudara penulis sedia maklum, Majlis Keselamatan Negara pada 12 Jun 2008 telah memutuskan peranan Pusat Penyelarasan dan Penguatkuasaan Maritim (PPPM) Bahagian Keselamatan Negara diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perdana Menteri, bersama kesemua 42 perjawatannya.

Selaras dengan penyerahan itu, agensi terpaksa melakukan sedikit perubahan bagi maksud penambahbaikan yang harus disesuaikan dengan peranan, struktur organisasi, jumlah dan pelbagai kategori perjawatan yang telah diluluskan dan diguna pakai dalam agensi iaitu skim X (Penguat kuasa - kakitangan beruniform), skim Gunasama (kakitangan awam) dan Kader.

Justeru, Maritim Malaysia telah mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi pemansuhan 23 jawatan dalam PPPM. Pemansuhan ini untuk membolehkan pengwujudan 19 perjawatan baru, menaik taraf dua jawatan dan mengekalkan 16 jawatan sedia ada.

Dengan pengstrukturan semula ini, perjawatan Pusat Penyelaras Penguatkuasaan Maritim sekarang adalah sebanyak 37 jawatan yang terdiri daripada 14 jawatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim, 13 jawatan Kader dan 10 jawatan Gunasama.

Penyandang jawatan Kader Kementerian Pertahanan yang dimansuhkan akan ditawarkan opsyen ditukar lantik ke APMM, manakala penyandang jawatan Gunasama (yang dimansuhkan) lantikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan dipulangkan kepada Ketua Perkhidmatan masing-masing untuk penempatan semula dalam mana-mana agensi perkhidmatan awam.

Sebagai seorang penjawat awam, kita semua maklum bahawa pertukaran penempatan bertugas adalah satu tuntutan perkhidmatan tanpa mengira skim perkhidmatan, kategori perjawatan mahupun gred atau pangkat.

Proses ini berlaku secara berterusan dan ia merupakan satu kelaziman yang berlaku dalam pengurusan sumber manusia bagi sektor perkhidmatan awam yang mendukung motto 'Berkhidmat Untuk Negara'.

Pada masa yang sama, penjawat awam juga berpeluang untuk memohon pertukaran tempat bertugas dengan justifikasi-justifikasi yang kukuh untuk dipertimbangkan oleh majikan masing-masing.

Kesediaan penjawat awam meletakkan kepentingan perkhidmatan melebihi daripada kepentingan peribadi merupakan sikap amat mulia yang pasti akan menghasilkan manfaat dan ganjaran kepada semua yang terlibat.


FARIDAH SHUIB
Pegawai Perhubungan Awam
b.p Ketua Pengarah.

Utusan Online

No comments: