Thursday, April 30, 2009

Menyuntik semangat baru dalam sektor awam

PERDANA Menteri semalam mencadangkan modenisasi dan pembaharuan struktural dilakukan dalam perkhidmatan awam dengan mengesyorkan proses saling penyerapan di antara bakat-bakat sektor awam dan swasta.

Beliau mahu perkhidmatan kakitangan awam kepada rakyat adalah yang terbaik.

Sehubungan itu beliau mahu pegawai yang terbaik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sektor swasta diambil bekerja untuk kerajaan.

Cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya kelmarin cukup jelas dan patut difahami oleh semua penjawat awam.

Di bawah cadangan itu, sudah tiba masanya jawatan-jawatan utama dan penting dalam sektor awam dibuka kepada bakat-bakat yang ada di sektor swasta dan perkhidmatan lain.

Kita yakin langkah ini dapat memperbaiki dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan kepimpinan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam yang selama ini diisi sepenuhnya oleh para pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Malah dasar pintu terbuka di mana pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke GLC dan pegawai GLC dipinjamkan ke perkhidmatan awam untuk saling menimba pengalaman merupakan pendekatan yang patut disokong.

Modenisasi dan pembaharuan struktural yang diingini oleh Najib ini adalah sesuatu dasar yang terbaik untuk pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.

Perubahan ini diharap akan disokong oleh semua peringkat perkhidmatan awam. Dengan itu jawatan-jawatan tertinggi sektor awam misalnya Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) seperti ketua-ketua setiausaha kementerian dan jabatan serta agensi utama diharap akan diisi oleh mereka yang benar-benar layak dan mampu daripada sektor swasta dan GLC. Pembaharuan ini selaras dengan konsep "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan" dan demi kebaikan negara.

Sebenarnya untuk menjadikan perkhidmatan awam negara ini yang terbaik, kita kena mencari pegawai yang terbaik. Jika pegawai terbaik tidak dapat dicari di kalangan orang dalam, maka carilah orang yang di luar. Sudah tentu banyak yang terbaik, berbakat, berdedikasi, ada kredibiliti dan integriti.

Namun persoalan utama yang kena ditanya kepada golongan terbaik itu, sanggupkah mereka bekerja dalam sektor kerajaan? Banyak yang perlu diperhalusi dan diubah sebelum golongan ini hendak diserap dalam kerajaan.

Budaya kerja, birokrasi dan soal gaji perlu dipertimbangkan oleh kerajaan.

Kita percaya perkara-perkara seperti ini perlu mendapat perhatian kerajaan jika mahu merealisasikan harapan Perdana Menteri.

Sektor awam negara ini perlu mendapat suntikan baru daripada luar. Semangat baru ini diharapkan akan menaikkan semangat penjawat awam lain dalam persaingan yang sihat.

Tiada perkara yang patut dicemburui asalkan mereka boleh belajar daripada budaya korporat yang dibawa oleh orang GLC atau sektor swasta.

Sebab itu Perdana Menteri meminta penjawat awam berubah. Berubah dari tahap lama kepada orientasi baru.

Utusan Online

No comments: