Thursday, April 30, 2009

Beri peluang veteran naik pangkat

ALAF baru menyaksikan ramai staf veteran seperti saya dan seangkatan berlumba-lumba menyambung pengajian baik di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan juga PhD. Tetapi dari segi kenaikan pangkat, kami kecundang.

Keputusan temuduga tidak langsung memihak kepada kami tetapi lebih kepada generasi muda yang baru keluar universiti. Usia mereka pula separuh daripada usia kami. Tahun demi tahun usia bagi memohon kenaikan pangkat juga akhirnya sudah tiada lagi, dengan kata lain terlebih umur.

Saya harap pihak berwajib sama ada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) mahupun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) beri perhatian sewajarnya mengenai isu ini.

Misalnya, seorang staf sokongan mempunyai kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran boleh terus memohon kenaikan ke N44, bukan setakat N41.

Saya merayu agar pihak berwajib tidak mengabaikan kami. Berilah kami peluang menggunakan segala pengalaman yang ada, ditambah dengan segulung ijazah, untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang kepada institusi tercinta khasnya dan negara amnya.

CALON SARJANA TUA
Kuala Lumpur

Utusan Online

No comments: