Monday, April 27, 2009

Keputusan kes rasuah Abdul Kudus 30 Jun

KUALA LUMPUR 27 April — Mahkamah Sesyen Ampang hari ini menetapkan 30 Jun untuk keputusan kes rasuah bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad.

Hakim Nor Adidah Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan di akhir kes pembelaan kedua-dua pihak.

Kes perbicaraan yang mengambil masa hampir enam tahun, bermula 9 Ogos 2003 ini melibatkan 11 orang saksi di pihak pendakwaan dan 12 orang saksi di peringkat pembelaan yang antaranya turut memanggil bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Kayveas.

Abdul Kudus, 46, didakwa terhadap 24 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven’s Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda maksimum lima kali ganda daripada nilai suapan

Bernama

No comments: