PUTRAJAYA 21 April - Hanya satu kementerian dan lima agensi pusat layak menerima status lima bintang daripada 38 buah kementerian dan agensi yang dinilai oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) tahun lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, penilaian itu berdasarkan satu mekanisme pengukuran berteraskan budaya kerja berkualiti tinggi, berakauntabiliti dan telus dalam melaksanakan urusan yang diamanahkan.
''Berasaskan Sistem Penarafan Bintang (SSR) yang diperkenalkan oleh Mampu sejak 2007 itu, kementerian berkenaan adalah Kementerian Kerja Raya.
'Lima agensi pusat itu pula adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mampu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pejabat Ketua Pengarah Kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Bintang Agensi Sektor Awam di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pengarah Mampu, Datuk Normah Md. Yusof.
Teks ucapan Mohd. Sidek dibaca oleh Ismail.
Mohd. Sidek berkata, pasukan Inspektorat Mampu bagaimanapun akan sentiasa mengadakan lawatan mengejut dari semasa ke semasa ke kementerian dan agensi yang cemerlang itu termasuk yang berbentuk penyamaran.
Beliau menambah, ini adalah bagi memastikan sektor awam sentiasa berada dalam keadaan berwaspada dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
''Kepada kementerian dan agensi lain yang belum memperoleh taraf lima bintang, jadikanlah kementerian dan agensi lima bintang ini sebagai penanda aras.
''Bagi kementerian dan agensi yang telah mencapai lima bintang, mereka harus bekerja lebih kuat untuk mengekalkan kecemerlangan dalam penilaian pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Mampu perlu mengambil beberapa kriteria baru untuk memastikan program SSR memenuhi kehendak pemegang saham dan pelanggan.
''Beberapa kriteria baru yang akan diambil kira seperti perekayasaan proses-proses utama, pengurusan risiko, organisasi pembelajaran, pemantauan pelaksanaan keputusan pemegang saham dan usaha-usaha memuaskan pelanggan.
''Ia juga akan dilaksanakan ke atas agensi barisan hadapan dan juga pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tahun ini," katanya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment