Wednesday, April 29, 2009

'Pentadbiran fahami denyut nadi rakyat'

PUTRAJAYA 28 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kakitangan awam menekankan soal pencapaian secara holistik agar hasrat kerajaan untuk mewujudkan 'pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat' dapat dilaksanakan.

Justeru Perdana Menteri berkata, pelaksanaan kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah kepimpinannya bukan bertujuan untuk dijadikan alat bagi mendera atau menghukum kakitangan awam.

"Tuan-tuan dan puan-puan yang berprestasi tinggi tidak perlu bimbang dan jangan anggap anda sebagai wira yang tidak didendang, kepada yang pencapaiannya kurang memuaskan, saya menyeru agar bingkas bangun membaiki prestasi diri.

"Kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong, apa yang mustahak kerja mesti dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sistem piawai KPI dirangka bagi dijadikan kayu ukur yang objektif terhadap tahap penyampaian kakitangan bagi sektor berkenaan.

"Ini akan membolehkan perkhidmatan awam dinilai secara holistik merangkumi penilaian kuantitatif dan kualitatif.

"Apabila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah kepimpinan," katanya

Perdana Menteri berkata, kepuasan hati rakyat adalah tanda aras yang utama kepada kejayaan sektor awam.

"Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Di bawah konsep rakyat didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien utama.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa, kita perlu memahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat." katanya.

Justeru beliau menegaskan, pihaknya tidak akan mengambil sikap 'hangat-hangat tahi ayam' bagi melaksanakan pembaharuan dalam sektor awam.

"Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan," katanya.

Najib turut mengajak rakyat terutama 1.2 juta kakitangan awam bersama membantu kerajaan mendepani dua cabaran monumental berbentuk jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, cabaran jangka pendek pertama ialah untuk memastikan negara mengalami impak seminimum mungkin kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku.

Cabaran jangka pendek seterusnya, kata Perdana Menteri, berkisar untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan sedia ada dengan kadar paling pantas manakala ketiga, membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.

"Cabaran jangka panjang pula ialah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia berasaskan satu model yang baru berteraskan kreativiti dan inovasi.

Utusan Online

No comments: