PUTRAJAYA 9 April - Prestasi para menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam akan dinilai menggunakan pendekatan Petunjuk Pretasi Utama (KPI) setiap enam bulan sekali.
Pendekatan baru dalam pentadbiran kerajaan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya sebelum mengumumkan senarai barisan Kabinet baru di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, KPI akan menekankan aspek impak, hasil dan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi dan akan dipantau oleh sebuah unit baru yang dipimpin seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Petunjuk itu akan menekankan impak bukannya input, hasil bukannya output dan memastikan perkhidmatan awam yang berbaloi," katanya.
Menurut Najib, pengenalan KPI itu yang turut mencerminkan keutamaan strategik negara akan menjadi tanda kepada pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta mendahulukan rakyat.
Tambahnya, bagi merealisasikan perkara itu, para menteri dan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam akan dipertanggungjawabkan terhadap pencapaian masing-masing bersandarkan petunjuk prestasi tersebut.
"Sementara itu, setiap timbalan menteri berjumlah 40 orang semuanya akan diberi ruang tugas yang khusus.
"Saya akan mengarahkan setiap menteri untuk menyediakan KPI yang jelas merangkumi perincian tanggungjawab berkaitan tugas mereka serta timbalan masing-masing dalam masa 30 hari dari sekarang," katanya.
Tambah Najib, dengan dibantu menteri yang berkenaan, beliau akan memantau pengurusan KPI agar ia berjalan lancar.
"Seterusnya untuk makluman semua, saya akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan," katanya.
Kata Najib, jika prestasi didapati tidak memenuhi piawaian, beliau dan menteri berkenaan serta penjawat awam berkaitan akan merungkaikan sebarang halangan yang menyekat prestasi mereka.
"Sememangnya pun inilah pendekatan saya sejak dulu lagi dalam mencapai transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi," katanya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment