Monday, April 27, 2009

Timbalan Menteri WP 'tangkap' doktor HKL

KUALA LUMPUR 26 April - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan hari ini 'menangkap' dua doktor di jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ini apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan. Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagipun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan," kata Saravanan kesal.

Saravanan berkata, beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian.

"Selepas itu, pesakit yang menunggu pun segera diberi rawatan. Tak bolehkah doktor itu melayani pesakit dulu? Ini bukan sepatutnya cara perkhidmatan di hospital kerajaan dilaksanakan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu daripada lawatan mengejutnya ke pusat bandar semalam berkata, beliau mahu barisan hadapan institusi kerajaan di ibu negara supaya meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Saravanan berkata, sungguhpun beliau 'menangkap' doktor terbabit secara tidak sengaja, mulai sekarang beliau akan kerap melakukan lawatan mengejut ke jabatan di bawah kementeriannya bagi memastikan kakitangan di barisan hadapan melaksanakan tugas mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Ini adalah pembuka mata. Kami, sebagai pemimpin, tidak boleh hanya menabur janji sahaja dan tidak memeriksa sama ada kerja dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan di barisan hadapan. Kami mesti turun ke bawah (ke akar umbi) bagi memastikan penyelesaian segera ditemui untuk masalah rakyat.

"Apatah lagi dalam keadaan ini apabila orang sedang sakit dan menanggung penderitaan akibat kesakitan itu. Jika mereka tidak sakit, mereka tidak akan datang ke unit kecemasan. Ini adalah pengajaran untuk semua hospital. Tolong bekerja untuk rakyat jika anda menganggotai perkhidmatan awam," katanya.

BERNAMA

No comments: