Wednesday, April 22, 2009

Pelantikan, pertukaran pegawai kementerian

KUALA LUMPUR 21 April - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan hari ini mengumumkan pelantikan dan pertukaran 13 pegawai perkhidmatan awam dari kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bagi menjawat jawatan kanan dalam perkhidmatan awam berkuat kuasa esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pelantikan dan pertukaran itu adalah berikutan penstrukturan semula fungsi-fungsi agensi dan bahagian di beberapa kementerian dan susulan kepada susunan baru Kabinet seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 9 April lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Dr. Halim Man, 54, dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Thomas George a/l M.S. George, 57, pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya menggantikan Datuk Seri Dr. Abdul Munit Kasmin yang bertukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Kewangan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Segarajah Ratnalingam pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, menggantikan Thomas George.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi - STI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Madinah Mohamad, 53, pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi menggantikan Datuk Abdul Hanan Alang Endut yang bertukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

Setiausaha Bahagian (Kanan) Bahagian Perancangan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Paduka Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, 53, dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar STI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menggantikan Madinah.

Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation and Advancement, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ali Hamsa, 54, dilantik sebagai Ketua Pengarah, Unit Penswastaan dan Private Finance Initiative (PFI), Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Dr. Muzahet Masruri, 57, pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Program National Transformation and Advancement, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menggantikan Dr. Ali.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Mohammed Mohd. Daud, 56, dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Warisan), Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Dr. Azmal Mohd. Nasir, 55, pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Penerangan, Datuk Dr. Rothiah Omar, 53, dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pengurusan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Bernama

No comments: