Thursday, April 30, 2009

CUEPACS sambut baik

KUALA LUMPUR 29 April – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mewakili 1.3 juta kakitangan kerajaan menyambut baik cadangan pembaharuan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sektor itu.

Presidennya, Omar Osman berkata, pembaharuan itu akan memberi cabaran baru kepada kesemua kakitangan awam untuk terus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan iaitu rakyat.

“Kita terima dengan terbuka segala pembaharuan yang mahu dilaksanakan.

“Pembaharuan yang dicadangkan Perdana Menteri itu memberi motivasi baru kepada kita untuk terus memberi khidmat terbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Perdana Menteri semalam untuk melaksanakan pembaharuan perkhidmatan sektor itu termasuk membuka jawatan utamanya kepada bakat-bakat dari sektor swasta dan perkhidmatan lain termasuk syarikat milik kerajaan (GLC).

Menurut Najib, cadangan mengenai sistem kemasukan pelbagai peringkat ke dalam perkhidmatan awam itu akan dapat memanfaatkan proses keterampilan bersilang antara bakat-bakat sektor awam dan swasta serta GLC.

Perdana Menteri turut mencadangkan dasar pintu terbuka dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke GLC dan sebaliknya untuk saling menimba ilmu.

Omar berkata, cadangan kemasukan itu amat dialu-alukan bagi membolehkan perkhidmatan awam diperkukuhkan namun berharap sistem tersebut tidak akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat kakitangan awam sedia ada.

“Jika kemasukan pegawai daripada GLC umpamanya menyekat peluang kakitangan dalaman untuk naik, maka sesuatu perlu dilakukan.

“Kita juga perlu mengetahui mekanisme bagaimana yang akan dilaksanakan dalam pengambilan pegawai-pegawai luar itu,” katanya.

Utusan Online

No comments: