Thursday, February 19, 2009

45,000 jawatan kosong di SPA

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Data terkini daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunjukkan terdapat 45,000 jawatan sektor awam yang masih belum diisi pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah berkata, jumlah itu bagaimanapun boleh mencecah 100,000 kekosongan seperti yang pernah dinyatakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam baru-baru ini.

Katanya, data SPA itu tidak mencakupi kekosongan jawatan di peringkat kerajaan negeri dan agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membuat pengambilan kakitangan sendiri.

“SPA akan mengadakan mesyuarat Isnin ini dan saya minta mereka menghantar surat kepada semua agensi terbabit untuk mendapatkan maklumat mengenai kekosongan jawatan di peringkat mereka.

“Dalam masa seminggu dua lagi, kita akan umumkan jumlah kekosongan jawatan terkini dan kerajaan akan berusaha mempercepatkan pengambilan pekerja baru untuk membantu rakyat berdepan dengan kegawatan ekonomi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Mengenai cadangan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu supaya pengambilan kakitangan awam dibuat berasakan kuota kaum, Murugiah menjelaskan, pada masa ini ia dibuat berasaskan peratusan kaum yang membuat permohonan.

Katanya, pada tahun 2008, seramai 827,540 pemohon terdiri daripada kaum Melayu, 24,815 India dan 17,443 kaum Cina.

Daripada jumlah itu, sebanyak 41,117 permohonan kaum Melayu telah berjaya diikuti orang India seramai 2,367 dan Cina 1,286.

“SPA akan membuat satu kertas cadangan mengenai kuota kaum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok dan sekiranya sesuai ia akan dibawa ke pengetahuan Kabinet untuk diputuskan,” katanya.

Samy baru-baru ini menyatakan pendirian MIC yang mahukan sekurang-kurangnya lapan peratus daripada penjawat awam adalah pekerja kaum India.

Utusan Online

No comments: