Thursday, February 12, 2009

Pemimpin muda berkualiti

PUTRAJAYA 11 Feb. - Barisan pemimpin muda perlu memiliki kualiti kepimpinan sebenar ke arah memperkasakan lagi sektor perkhidmatan awam pada masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemampuan golongan tersebut bukan setakat mengenal pasti objektif utama organisasi, tetapi juga berupaya memastikan setiap kakitangannya bekerja ke arah yang ditetapkan.

''Bila membuat sebarang cadangan penyelesaian kepada masalah yang timbul, fokus kepada perkara yang jelas dan mudah difahami oleh kakitangan.

''Keduanya, mereka perlu berupaya memberi rangsangan kepada kakitangan untuk mencapai sasaran dan memberi fokus untuk mereka menyelesaikan masalah yang utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Persidangan Eksekutif Muda Perkhidmatan Awam 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Teks ucapan Timbalan Perdana Menteri dibaca oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib memberitahu, kepimpinan untuk era alaf baru adalah mengenai bagaimana seseorang itu menggunakan secara maksimum kebolehan dan kemampuannya yang cemerlang.

Malah, katanya, pemimpin yang mempunyai pengetahuan boleh menyelesaikan apa jua isu atau masalah.

''Bagaimanapun, pemimpin muda masih menjadi faktor utama dan apa yang perlu adalah memastikan mereka komited untuk melakukannya," katanya.

Utusan Online

No comments: