Monday, February 9, 2009

Kaji pencen bekas tentera

MULAI Januari 2009, semua pesara tentera dan polis menerima kenaikan pencen berdasarkan jumlah tahun perkhidmatan. Terima kasih kepada kerajaan kerana menyemak semula kadar pencen tersebut.

Memang diakui tiap-tiap kenaikan atau apa-apa jua yang dilakukan oleh kerajaan tidak akan memuaskan hati semua pihak. Bagaimanapun ketidakpuasan hati itu kadang kala ada kewajaran.

Kenaikan pencen dikira berdasarkan jumlah tahun perkhidmatan seseorang pesara. Lebih lama tempoh khidmatnya, lebih banyak kenaikan yang diterima.

Apabila diteliti kenaikan pencen ini, ternyata menguntungkan pesara-pesara polis kerana rata-rata anggota polis berkhidmat tidak kurang dari 25 tahun.

Amat malang dan mendukacitakan bagi para pesara tentera kerana kebanyakan mereka berkhidmat selama 21 tahun (tidak ada kenaikan).

Persaraan anggota tentera peringkat rendah ada empat kategori. Pertama, mereka yang bersara setelah berkhidmat 21 tahun tersangatlah 'ramai'.

Bersara setelah berkhidmat (21+1) 22 tahun adalah 'tidak ramai'.

Manakala mereka yang bersara setelah berkhidmat 23 atau 24 tahun pula 'jarang-jarang' ditemui.

'Kadang-kadang' baru kita boleh temui mereka yang bersara setelah berkhidmat lebih 25 tahun.

Sepatutnya jika kerajaan memberi kenaikan pencen hendaklah mengikut peratus.

Adakah pesara-pesara tentera yang berkhidmat selama 21 tahun semasa mereka berkhidmat dahulu membuat kerja yang ringan sahaja berbanding mereka yang berkhidmat melebihi 25 tahun?

Atau adakah mungkin mereka yang berkhidmat 21 tahun (yang pencen tidak naik) dapat membeli barang-barang keperluan jauh lebih murah selepas kenaikan ini?

Jikalau inilah keistimewaannya, maka kenaikan ini tidak akan dipertikaikan.

Kepada kerajaan dan mereka yang bertanggungjawab menyemak kenaikan pencen pesara-pesara tentera, kami, pesara-pesara yang berkhidmat 21 tahun berasa sangat tidak puas hati. Kami seolah-olah dipinggirkan.

Dibandingkan dengan mereka yang menerima pencen terbitan mulai Januari 2009 telah diberi pencen penuh, yang mana sebelumnya telah dipotong 30 peratus (apabila pesara telah menerima pencen selama 12 tahun 6 bulan).

Jika sekiranya pencen mereka di bawah RM700, diberi kenaikan menjadi RM720.00 (termasuk mereka yang menerima pencen perkhidmatan).

Jika mereka ini mendapat kenaikan kenapa pula pesara-pesara tentera (perkhidmatan 21 tahun) tidak berhak menerima kenaikan?

Jika kerajaan hendak juga memberi kenaikan pencen kepada pesara-pesara tentera mengikut perkhidmatan, jumlah perkhidmatan hendaklah dikira penuh selama 30 tahun. Ini kerana anggota-anggota tentera semasa berkhidmat mereka bertugas 24 jam berbanding dengan perkhidmatan awam hanya bertugas lapan jam sehari.

Kiraan kenaikan pencen mengikut jumlah tahun perkhidmatan tidak sepatutnya dilakukan kerana semasa bersara dahulu kiraan pembayaran saguhati telah dikira mengikut jumlah tahun perkhidmatan.

Kenapa pula setelah kami bersara berbelas-belas atau berpuluh-puluh tahun, kenaikan pencen masih mengikut jumlah tahun perkhidmatan?

Demi keadilan, pihak kerajaan diharap dapat mempertimbangkan semula kenaikan pencen bagi pesara-pesara tentera mengikut peratus, juga diasingkan dengan perkhidmatan awam.

PESARA ATM
Alor Gajah, Melaka

Utusan Online

No comments: