Saturday, February 21, 2009

Dua penolong pegawai tanah didakwa rasuah RM3,276

KLANG 20 Feb. - Dua Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Rompin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh pakej pelancongan RM3,276 dalam urusan permohonan lesen pendudukan sementara dan permit mengangkut sisa besi untuk kawasan Endau Rompin.

Mereka ialah Mohd. Rashidi Ab. Rahman, 48, dan Shamsul Amri Abu Bakar, 42, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di hadapan Hakim Mazilah Manap.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang atas tuduhan rasuah pada 6 Februari lalu. Mereka diwakili dua peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin dan Afiffuddin Hafifi.

Menurut pertuduhan, Mohd. Rashidi Ab. Rahman atas kapasitinya itu didakwa memperoleh pakej pelancongan ke Beijing, Datong, Taiyuan dan Mongolia dalam anggaran RM3,276 untuk dirinya dan Shamsul Amri.

Pakej pelancongan yang didakwa diberikan melalui seorang ketua pelancong sebuah agensi pelancongan, Chai Lee Fan adalah sumbangan daripada pengarah urusan sebuah syarikat jual beli tanah dan batu, Pek Kok Sam.

Sedangkan Kok Sam dikatakan mempunyai urusan rasmi dengan Pegawai Daerah Rompin iaitu penjawat awam atasan Mohd. Rashidi dan Shamsul Amri bekerja.

Mohd. Rashidi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara Shamsul Amri pula atas kapasiti tersebut didakwa telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya dan Mohd. Rashidi pakej pelancongan ke destinasi dan anggaran harga yang sama.

Pakej pelancongan daripada Kok Sam didakwa diberikan melalui Lee Fan sebagai dorongan bagi menguruskan permohonan lesen pendudukan sementara dan permit mengangkut sisa besi untuk kawasan di Endau/Rompin.

Shamsul Amri didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh hukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai jumlah atau suapan atau RM10,000, mana satu yang lebih tinggi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 12.30 pagi, 24 Julai 2007 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Selain pertuduhan utama, pendakwaan turut menyertakan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan seperti pertuduhan yang dihadapi Mohd. Rashidi.

Mazilah membenarkan kes terhadap Mohd. Rashidi dan Shamsul Amri dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang untuk disebut semula pada 6 Mac ini.

Hakim itu juga mengekalkan jumlah jaminan yang telah diputuskan mahkamah berkenaan ke atas Mohd. Rashidi sebanyak RM4,000 dan Shamsul Amri, RM3,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya, Mohd. Josiendra Abu Senin.

Utusan Online

No comments: