Friday, February 13, 2009

JPA perlu perubahan dinamik


ABDULLAH Ahmad Badawi menyampaikan cenderahati kepada mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri pada Sambutan Jubli Intan Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 12 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan perubahan dinamik dalam membentuk dasar pembangunan modal insan sektor awam dan menerajui perkhidmatan yang relevan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, JPA yang ditubuhkan 75 tahun lalu tidak boleh berasa selesa dengan kedudukannya sekarang, sebaliknya perlu lebih inovatif dan kreatif dalam memperbaiki mutu perkhidmatan awam.

''Proses-proses kerja yang lapuk atau perkhidmatan yang tidak mesra rakyat perlu diteliti semula dan perkhidmatan yang disediakan perlu berorientasikan pelanggan.

''Dalam mengekalkan tempo perubahan ini, JPA mempunyai peranan yang besar dan perlu terus memperkukuhkan kekuatannya sebagai pengurus sumber manusia yang unggul," katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Jubli Intan JPA bertemakan 'Meniti Sejarah Merintis Kejayaan' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam.

Pada majlis itu, Abdullah melancarkan buku bertajuk Kuasa Tak Ketara, Pengaruh Tak Diheboh mengenai sumbangan ketua-ketua pengarah perkhidmatan awam dari dulu hingga sekarang terhadap pembangunan negara.

Menurut Perdana Menteri, keadaan persekitaran yang lebih mencabar membuatkan para pelanggan mempunyai pengharapan yang tinggi terhadap kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam.

''Pelanggan-pelanggan kita kini lebih terpelajar, mereka juga semakin sedar tentang hak mereka untuk mendapat layanan yang lebih adil dari agensi-agensi kerajaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, cabaran globalisasi juga menuntut sesebuah negara memperkukuhkan daya persaingannya.

Dalam hal ini, katanya, sektor swasta mengharapkan perkhidmatan awam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif kepada mereka untuk meningkatkan daya saing negara.

Abdullah juga mengingatkan bahawa kecemerlangan modal insan tidak hanya diukur dengan kelayakan akademik, kemahiran dan kerohanian semata-mata, malah memerlukan tahap integriti yang tinggi.

Justeru, beliau berkata, nilai-nilai murni amat penting bagi penjawat awam kerana ia mampu mendorong kakitangan kerajaan memberikan perkhidmatan yang melangkaui kebiasaan.

''Oleh itu, penjawat awam amat diharapkan untuk mempunyai suatu ciri yang membezakannya dengan pekerja sektor lain iaitu apa yang dikenali sebagai keperibadian pegawai awam," kata Abdullah.

Sebagai bekas warga JPA, Abdullah turut berterima kasih kepada jabatan itu kerana memberi latihan amat baik dan pengalaman yang kini menjadi aset kepada beliau untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, kerjaya sektor awam di negara ini juga adalah jauh lebih baik berbanding negara-negara lain terutama dari segi tangga gaji, imbuhan dan elaun serta menyediakan peluang untuk meningkatkan kerjaya pada tahap lebih tinggi.

''Saya amat gembira dahulu apabila dilantik menjadi pegawai kerajaan dan kemudian saya ditempatkan di JPA.

''Saya dapati jabatan inilah yang paling sesuai bagi seseorang yang baru dilantik untuk mengetahui budaya perkhidmatan awam, amalan dan pantang larangnya," katanya.

No comments: