Thursday, February 5, 2009

Pegawai polis dituduh terima rasuah

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Lima lelaki termasuk seorang pegawai dan anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas tuduhan menerima rasuah antara tahun 1999 dan 2006.

Asisten Supritendan (ASP) Sydney Clyde Jeremiah, 47, Sarjan Abdul Razak Mayuddin, 48, Abd. Rashid Yusuff, 56, Rahman Ihwan, 40, dan Zulkifli Sadri, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Mengikut pertuduhan, Sydney didakwa bersetuju menerima RM2,000 daripada Mohd Khusaiful Che Rashid, 36, sebagai dorongan untuk melepaskan Hoi Chee Kin, 27, yang dikatakan melakukan kesalahan menawarkan perkhidmatan seks di Tingkat 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada pukul 3.30 petang, 26 Oktober 2007.

Sementara Abdul Razak pula didakwa bersetuju menerima RM1,000 daripada Chua Seong Loon sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Seong Loon, Chin Hoi Man dan Chin Hoi Ching yang disyaki melakukan kesalahan mengakibatkan kecederaan di IPD Sentul di sini pada pukul 2.30 pagi, 2 April 2006.

Abd. Rashid yang merupakan Pembantu Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa menerima suapan RM350 daripada M. Muthugumar sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan merobohkan dinding rumah setinggan kepunyaannya pada 6 Oktober 1999.

Sementara Rahman yang memegang status penduduk tetap dan Zulkifli pula didakwa menerima suapan RM2,000 daripada Natra Mohd Rahsid sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes kompaun ibunya kerana kesalahan mengambil pekerja asing tanpa pas di lobi Hotel Grand Season, Jalan Pahang di sini pada pukul pada 6 dan 7 Oktober 2006.

Sydney, Abdul Razak dan Abd. Rashid didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, manakala Rahman dan Zulkifli pula didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim sementara Sydney diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin.

Mahkamah membenarkan Sydney, Rahman dan Zulkifli dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM5,000 manakala Abdul Razak dan Abd Rashid RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kelima-lima kes itu akan disebut semula pada 6 Mac ini.

No comments: