Friday, February 13, 2009

Tingkatkan integriti kakitangan awam - MB

JOHOR BAHRU 12 Feb. - Kakitangan awam diminta agar meningkatkan lagi integriti bagi menangkis tohmahan segelintir pihak terhadap kerajaan yang cuba dikaitkan dengan rasuah, tidak adil dan berlaku zalim terhadap rakyat.

Menteri Besar, Abdul Ghani Othman berkata, kakitangan awam perlu sedar bahawa sejak kebelakangan ini terutamanya selepas pilihan raya umum Mac lalu, imej berkenaan cuba dilabelkan untuk sedikit sebanyak mencemarkan nama baik kerajaan.

"Tuduhan ini secara meluas dan berpanjangan melalui cara teknologi, sistem pesanan ringkas (SMS), laman web, media massa yang menjadikan kerajaan sebagai sasaran dan ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi fikiran rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap merasmikan Majlis Amanat Perkhidmatan Awam Negeri di dewan besar Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof.

Abdul Ghani berkata, penyebar tohmahan itu berselindung dengan nama ingin melakukan perubahan atau hijrah tetapi sebenarnya cuba menggugat kestabilan politik hingga dikhuatiri boleh mencabar perlembagaan negara.

Menurutnya, antaranya, kerajaan dilabelkan sebagai korup, mengamalkan diskriminasi, angkuh, menganiaya, tidak terbuka dan zalim.

"Mereka mengambil contoh apa yang berlaku dalam kes terpencil dalam insiden tertentu yang antaranya membabitkan polis, penjara, mahkamah, hospital, sekolah, universiti dan ahli politik," katanya.

Beliau berkata, penyebaran fitnah berkenaan sedikit sebanyak mempengaruhi rakyat, mengancam perpaduan kaum dan memberi kesan kepada keputusan sesuatu pilihan raya.

Utusan Online

No comments: