Thursday, February 19, 2009

Sultan Kedah seru kakitangan kerajaan tingkatkan kompetensi

ALOR SETAR, 19 Feb. — Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru agar semua jabatan kerajaan memberi penekanan kepada usaha membangunkan kompetensi setiap kakitangan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Baginda bertitah penguasaan ke atas bidang kerja yang baik akan membolehkan kakitangan tersebut melaksanakan tugas dengan cepat dan berkesan.

Titah baginda pembangunan modal insan adalah sangat penting kerana kakitangan yang mahir akan meningkatkan keberkesanan jentera kerajaan.

Menurut baginda, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ekoran krisis kewangan global, jabatan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha-usaha mempercepatkan segala urusan atau proses kelulusan.

“Melalui program pembangunan diri dan kerjaya, setiap kakitangan perlu dilatih untuk meningkatkan keupayaan mereka menguasai pengetahuan, berpandangan jauh, bermotivasi, berintegriti serta mampu membawa organisasi ke tahap yang lebih baik.

“Beta juga berharap dan meminta pegawai kerajaan menanamkan dalam diri mereka sifat keprihatinan terhadap masalah dan kesusahan rakyat serta pelanggan yang datang berhadapan dengan mereka,” titah baginda pada Majlis Perasmian Bangunan Tambahan, Blok E di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Bernama

No comments: