BUTTERWORTH 2 Feb. - Kakitangan kontrak Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, kecewa pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai
Pembantu am, Norfazira Rahim, 28, berkata, sejak tujuh tahun lalu dia mengorbankan cuti hujung minggunya untuk bekerja di perpustakaan PPAPP walaupun tidak menerima bayaran lebih masa.
Menurutnya, tindakan itu amat menyedihkan kerana hilang pekerjaan bererti tiada mata pencarian bagi menyara kedua orang tuanya.
"Saya sanggup kerja lebih masa tanpa bayaran kerana mahu mencapai sasaran tetapi akhirnya saya diberhentikan," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman di sini hari ini.
Norfazira berkata, surat pemberhentian kerja daripada Pengarah PPAPP bulan lalu amat mengecewakan kerana memikirkan nasib ayah dan ibunya yang bergantung kepada beliau untuk menampung keluarga.
Katanya, walaupun belum berumahtangga, tetapi menjadi tanggungjawabnya menjaga kedua orang tuanya yang masing-masing berumur 54 dan 56 tahun.
Menurutnya, dia kini mencari pekerjaan lain kerana tidak mahu keputusan wang termasuk memohon kerja di Tadika Kemas.
Bagi Mohd. Sharif Ahmad, 32, kedua orang tuanya yang berusia 65 dan 70 tahun bergantung hidup kepadanya.
Mohd. Sharif yang telah berkhidmat selama 14 tahun sebagai pembantu am di salah sebuah perpustakaan awam di sini berkata, nasib yang menimpanya itu amat malang dan tidak sepatutnya berlaku.
"Saya telah cuba membuat rayuan kepada Pengarah PPAPP dengan menghantar sepucuk surat pada 19 Januari lalu tetapi ditolak.
"Jadi sekarang ini saya menganggur kerana bukan mudah untuk mencari pekerjaan dalam waktu terdekat," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment