Tuesday, February 24, 2009

Pengarah bomba WP didakwa



MOHAMMAD HAMDAN WAHID

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah melibatkan wang RM925,000 berhubung cadangan pembangunan dan pembinaan jabatan tersebut di Kuching, Sarawak, enam tahun lalu.

Mohammad Hamdan Wahid, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Hamdan selaku Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan JBPM, Putrajaya didakwa menerima jumlah suapan tersebut daripada kontraktor, Zainudin Su'ut yang juga pengurus Erakristal Sdn. Bhd.

Suapan berkenaan adalah sebagai dorongan membantu untuk mendapatkan sokongan dari JBPM kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi Cadangan Pembangunan dan Pembinaan Bangunan Pejabat dan Bengkel JBPM di atas Lot 2312 dan 2313, Salak Land District, Samariang, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat letak kenderaan, Kondominium North Point One Ampang Avenue, Jalan Ampang Utama, 2/2, di sini, antara pukul 4 dan 6 petang, 1 Ogos 2003.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd. Saad mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau mana-mana lebih tinggi.

Saiful Hazmi menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Namun, peguam bela, Mohd. Firuz Jaffril membantah kerana jumlah RM30,000 adalah memadai bagi menjamin kehadiran anak guamnya ke mahkamah.

"Tertuduh berpendapatan RM9,000 sebulan dan mempunyai tanggungan tiga orang anak yang masih bersekolah manakala isterinya pula seorang suri rumah," katanya.

Tambah Firuz, kesemua harta tertuduh serta ahli keluarganya telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak September 2008.

"Malahan, sebagai penjawat awam, separuh daripada gajinya akan ditahan. Oleh itu jumlah jaminan yang dicadangkan RM30,000 adalah memadai," katanya.

Mahkamah kemudiannya membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport diserahkan sebagai syarat jaminan.

Tertuduh dibebaskan selepas mengemukakan wang ikat jamin. Perbicaraan ditetapkan mulai 27 Mei depan.

Utusan Online

No comments: