Tuesday, February 3, 2009

Usah terjebak skim cepat kaya - Cuepacs

KUCHING 2 Feb. - Kakitangan awam di negeri ini dinasihatkan agar tidak terjebak dengan skim cepat kaya hingga menjadi mangsa penipuan sindiket seumpama itu.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak, Thomas Huo berkata, semua pekerja perlu mematuhi pekeliling khas daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, dalam pekeliling tersebut tidak membenarkan penjawat awam mengikuti skim cepat kaya seumpama itu.

''Sila ikut segala arahan yang telah dikeluarkan oleh JPA," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, skim tersebut akan mengakibatkan imej negatif kepada penjawat awam malah lebih 150,000 anggota kerajaan dipercayai terlibat secara aktif mempromosi dan melabur dalam urusan mencurigakan.

Huo berkata, masalah tersebut telah memaksa JPA mengeluarkan pekeliling yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berkuatkuasa 13 Januari lalu yang melarang penglibatan penjawat awam, badan-badan berkanun dan majlis-majlis tempatan.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dengan skim berkenaan diarahkan supaya menghentikan aktiviti itu serta-merta atau berdepan dengan tindakan disiplin.

''Ini kerana menurut pekeliling itu, pembabitan penjawat awam dalam skim berkenaan dengan jumlah wang yang besar akan memberi gambaran yang salah kepada orang ramai bahawa skim terbabit diluluskan kerajaan.

''Penjawat awam banyak menceburi skim cepat kaya termasuk yang boleh didapati dalam Internet dan yang berasaskan pemasaran pelbagai peringkat," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments: