BOLEH dikatakan setiap masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai rumah kakitangan masjid. Di sini timbul persoalan, siapakah yang sepatutnya mendiami rumah berkenaan? Kalau dibuat kajian, mereka yang berhak mendiami rumah kakitangan masjid ialah imam dan bilal sama ada imam dan bilal kerajaan atau imam ratib dan pembantu bilal (dipilih di kalangan anak kariah, juga dikenali imam rakyat).
Timbul persoalan kini, semua imam ratib dan pembantu bilal yang mendiami rumah kakitangan dikehendaki mengosongkan rumah bagi membolehkan pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atau Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) daripada berjawatan noja hingga ke pegawai gred S44 yang bukannya imam yang bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Tugas imam dan bilal sama ada imam kerajaan atau imam dan pembantu bilal rakyat adalah 24 jam iaitu bukan saja menjadi imam solat atau tukang azan bahkan mereka adalah tempat rujuk masyarakat tanpa kira waktu.
Untuk pengetahuan, bukan semua imam ratib dan pembantu bilal tinggal berhampiran masjid dan ada yang berulang sehingga 10 kilometer dan ada yang menyewa rumah berhampiran masjid dengan sewaan RM400 hingga RM500 sebulan.
Difahamkan, kakitangan Jawi dan MAIWP yang mendiami rumah kakitangan masjid tidak dipotong elaun rumah mereka.
Saya berharap pihak berkaitan dapat menjelaskan kedudukan mengenai siapa lebih berhak mendiami rumah kakitangan masjid sama ada mereka yang rapat dengan kegiatan masjid atau pegawai lain yang tidak berkaitan dengan memakmurkan masjid.
Sungai Besi,
Kuala Lumpur.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment