Saturday, February 14, 2009

Ketua Balai Pasir Mas mengaku tidak bersalah

KOTA BHARU 13 Feb. - Ketua Balai Polis Pasir Mas, Inspektor Ali Marzuki Kamar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM1,000.

Ali Marzuki, 43, didakwa meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, G. Selvaratnam untuk tidak merujuk tiga orang pekerjanya yang ditahan kerana memiliki jam pelbagai jenama kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.

Bagaimanapun, ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang berkemeja jalur putih dan hitam kelihatan tenang dan mengaku tidak bersalah serta meminta untuk dibicarakan bagi semua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Ali Marzuki didakwa meminta suapan sebanyak RM1,500 sebagai dorongan agar tiga pekerja peniaga berkenaan tidak akan diserahkan kepada (KPDNHEP) Kelantan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Pasir Mas kira-kira pukul 1 petang, 1 Mac 2007.

Bagi tuduhan kedua pula, Ali Marzuki didakwa menerima rasuah berupa wang tunai berjumlah RM1,000 daripada G. Selvaratnam kira-kira pukul 1.30 petang di tempat dan untuk tujuan yang sama.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Sophian Zakaria.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11A, Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Undang-Undang Akta 572) yang boleh membawa hukuman penjara minimum 14 hari atau 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam bela, Ridhwan Ismail dan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Mariam Othman.

Ketika prosiding, Sophian Zakaria mencadangkan kepada mahkamah wang ikat jaminin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, Ridhwan membantah dan meminta mahkamah mengurangkan kadar jaminan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM.

Siti Mariam membenarkan Ali Marzuki diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dan menetapkan perbicaraan pada 19 Mac depan.

Utusan Online

No comments: