Thursday, February 12, 2009

JPA mesti mampu buat perubahan dinamik - PM

PUTRAJAYA 12 Feb. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mesti mampu membuat perubahan dinamik bukan hanya berkaitan dengan dasar tetapi yang amat penting daripada segi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata sektor awam tidak boleh berasa terlalu selesa tetapi perlu lebih inovatif dan kreatif dalam memperbaiki mutu perkhidmatan agar relevan dengan kehendak rakyat.

Katanya proses-proses kerja yang lapuk atau perkhidmatan tidak mesra rakyat perlu diteliti semula dan perkhidmatan hendaklah berorientasikan pelanggan.

“Keadaan persekitaran hari ini lebih mencabar dan telah banyak berubah berbanding 75 tahun dahulu. Pelanggan kita kini lebih terpelajar dan mempunyai harapan amat tinggi terhadap kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

“Globalisasi pula menuntut sesebuah negara mengasah lagi daya persaingannya dan sektor swasta mengharapkan perkhidmatan awam mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang kondusif kepada mereka untuk meningkatkan daya saing negara,” katanya ketika merasmikan sambutan 75 tahun Jubli Intan JPA, bertemakan “Meniti Sejarah Merintis Kejayaan” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

— BERNAMA

No comments: