Wednesday, February 11, 2009

RM10 juta tingkat kemahiran

KOTA KINABALU 10 Feb. - Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM10 juta untuk membangunkan sumber manusia di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyedari tentang pentingnya peningkatan kemahiran di kalangan anggota perkhidmatan awam bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang baik.

''Perkhidmatan awam merupakan sebuah institusi yang sangat penting dalam menjayakan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah kerajaan.

''Tanpa institusi ini, sesebuah kerajaan akan hilang keupayaan untuk mentadbir dan melaksanakan perancangan secara cekap dan berkesan. Sebab itu, kita menyediakan peruntukan ini untuk mempergiatkan lagi peningkatan kemahiran kakitangan awam negeri,'' katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perkhidmatan Awam peringkat negeri di Auditorium Tun Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini semalam.

Musa juga mahu kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam negeri dan persekutuan memastikan kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam di Sabah sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Beliau menyeru anggota perkhidmatan awam di negeri ini supaya meningkatkan prestasi perkhidmatan termasuk pengurusan kewangan selain membantu menjayakan agenda pembangunan negeri terutama pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Sementara itu, Jabatan Penerangan Sabah dipilih sebagai penerima Anugerah Pusat Maklumat Rakyat (PMR) sempena Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah. - BERNAMA

No comments: