Tuesday, February 3, 2009

Tanah: Usahawan saman PTG, abang RM420 juta

ALOR STAR: Pengerusi Projek Bio-Fuel Malaysia, Md Badrul Shah Mohd Noor memfailkan saman bernilai RM420 juta terhadap Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah dan abangnya berhubung pemalsuan dokumen penukaran hak milik tanah ibunya kepada abangnya tujuh tahun lalu.

Md Badrul, 42, yang juga plaintif kedua, mewakili ibunya, Che Sopiah Omar, 77, sebagai plaintif pertama menamakan Pendaftar Surat Hak Milik Pejabat PTG Kedah sebagai defendan pertama; Pengarah PTG Kedah, kedua dan abangnya, Mohd Jamil sebagai defendan ketiga.

Plaintif memfailkan saman itu melalui peguamnya, Mohd Afza Dahari di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Md Badrul berkata, pertukaran hak milik tanah secara tidak sah menyebabkan syarikatnya kerugian RM380 juta apabila projek makmal vaksin yang dicadangkan di tanah berkenaan dibatalkan oleh syarikat pelabur.

Beliau memohon ganti rugi am, ganti teladan, ganti rugi khas, kos, faedah pada jumlah penghakiman dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Md Badrul mendakwa, ibunya kehilangan tanah GRN No 30820, Lot Mukim Sungai Pasir, dekat Sungai Petani dengan bahagian syer sebanyak satu perempat daripada jumlah keseluruhan yang luasnya hampir 40 hektar.

Berita Harian

No comments: