Thursday, February 19, 2009

Pegawai JPJ dituduh rasuah

MELAKA 18 Feb. - Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan rasuah pada tahun lepas.

Hazlan Totor, 29, yang bertugas di Stesen Penguat kuasa JPJ Jalan Pedas, Negeri Sembilan, menghadapi tuduhan pertama iaitu meminta suapan wang RM700 daripada pemandu lori Aziz Ali sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Aziz yang memandu lori lebih muatan sawit.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Batu 2 1/2 (kilometer 4) Jalan Tampin-Seremban berhampiran kawasan perkuburan Cina Kendung dalam daerah Alor Gajah pada pukul 2.15 petang, 16 Januari 2008.

Bagi pertuduhan kedua, Hazlan dituduh menerima suapan wang tunai RM400 daripada Aziz sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Aziz yang memandu lori lebih muatan sawit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3 1/2 (kilometer 5.6) Jalan Tampin-Seremban dalam daerah Alor Gajah pada pukul 3 petang, 16 Januari 2008.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Beliau menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

— Bernama

No comments: