Thursday, February 19, 2009

MB arah isi segera jawatan kosong

SEREMBAN 18 Feb. - Kekurangan kakitangan di semua jabatan perlu diisi segera supaya ia tidak memberi masalah kepada kerajaan dalam melaksanakan dasarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kekosongan jawatan di peringkat daerah begitu kritikal terutama melibatkan sektor pertanian, selain keperluan di pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan.

''Jika jawatan kosong itu tidak diisi segera, ia akan menjejaskan segala dasar yang dirancang kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan supaya segera berurusan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian yang berkaitan supaya kekosongan itu diberi perhatian serius.

''Bagaimana dasar yang dirancang sebaik mungkin boleh dilaksanakan jika tiada kakitangan yang mencukupi.

''Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan memang berhadapan kemelut ini. Sudah tentulah dengan seorang pegawai di peringkat daerah, sukar bagi mereka menjalankan tugas dengan efisien.

''Ini telah saya bangkitkan tiga tahun lalu dan sehingga kini ia masih tidak diisi sepenuhnya,'' tegas beliau.

Mohamad yang nyata kecewa dengan perkembangan itu mahu ia diperbetulkan segera supaya segala dasar dapat diberi perhatian termasuk Dasar Pertanian Negara (DPN) yang menuntut pemerhatian dan pemantauan serius di semua peringkat kerja.

Dengan memberi contoh pelaksanaan dasar yang berkesan, Mohamad memberitahu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini telah pun menerima tambahan kakitangan daripada 200 orang pada tahun 2005 kepada 400 orang hari ini bagi melaksanakan dengan jayanya Dasar Keselamatan Jaringan Sosial.

''Kekurangan kakitangan ini boleh membantutkan usaha kerajaan membangunkan rakyat. Rakyat mahu tahu dasar yang dibuat itu mestilah diuruskan dan dilaksanakan dengan baik," katanya.

Justeru beliau berharap, kementerian berkenaan peka dengan keperluan di peringkat negeri dan daerah serta menyegerakan pengisian jawatan kosong untuk memastikan pengurusan dasar yang lebih cekap.

Utusan Online

No comments: