Thursday, February 19, 2009

Proses pengisian jawatan sektor awam dipercepat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepatkan proses pengambilan kakitangan awam bagi mengisi kekosongan sedia ada dalam mengatasi masalah pengangguran berikutan kegawatan ekonomi yang semakin meruncing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah, berkata satu mesyuarat akan diadakan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Isnin depan, bagi meneliti dan merangka mekanisme bersesuaian untuk mengatasi perkara itu.

"Kita cuba bantu rakyat yang telah kehilangan kerja. Saya telah mengarahkan pegawai saya supaya mengumpul semua maklumat berkaitan kekosongan jawatan dari semua suruhanjaya termasuk dari tentera, polis, guru, kerajaan tempatan dan kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Setakat ini, seramai 15,000 orang dilapor kehilangan kerja manakala lebih ramai lagi dijangka akan menghadapi nasib yang sama dalam masa terdekat.

Murugiah berkata, hanya terdapat 45,000 jawatan kosong di SPA tahun ini, walaupun Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam pada Ahad lalu dilaporkan berkata terdapat 100,000 jawatan yang perlu diisi.

"Setelah disemak, kita mendapati hanya ada 45,000 jawatan kosong tahun ini yang terbuka berikutan ramai yang akan pencen, dinaikkan pangkat dan berlakunya penstrukturan semula pada agensi-agensi," katanya

Mengenai pencanggahan angka yang diberikan, katanya: "Saya tidak pasti dari mana Menteri (Subramaniam) mendapat angka itu.

Mungkin setelah beliau mencampurkan semua jawatan kosong yang terdapat pada semua suruhanjaya yang ada. Ini perlu kita kaji. Tapi di SPA, hanya ada 45,000".

Beliau berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan cadangan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu untuk menwujudkan sistem kuota bagi pengambilan ke sektor awam.

Murugiah berkata, sistem yang dipraktikkan ialah mengikut komposisi pemohonan yang diterima.

Pada 2008, SPA menerima 827,540 permohonan daripada kaum Melayu dan hanya 41,117 dilantik, manakala orang Cina yang memohon ialah 17,443 dan 2,286 telah dilantik. Sebanyak 24,815 orang India telah memohon dengan 2,367 dilantik, katanya.

Beliau berkata, kini, proses pengambilan oleh SPA adalah berterusan manakala proses temuduga juga dijalankan setiap hari di semua pejabat SPA seluruh negara.

Beliau turut menyeru orang ramai melayari laman web SPA di www.spa.gov.my bagi mengetahui jawatan kosong yang ditawarkan.

"Saya menggalakkan mereka yang berminat supaya membuat permohonan secara dalam talian," katanya.

Bernama

No comments: