Tuesday, February 10, 2009

RM10 juta program pembangunan manusia

KOTA KINABALU 9 Feb. - Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awamnya dengan menjalankan program pembangunan sumber manusia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan memerlukan perkhidmatan awam yang cekap bagi menjalankan segala dasar dan program pembangunan untuk faedah rakyat.

"Tanpa kakitangan awam yang cekap, sesebuah kerajaan akan hilang keupayaan untuk mentadbir. Kerajaan sedar akan pentingnya tadbir urus yang baik di mana ia memerlukan tahap kecekapan dan prestasi tinggi di kalangan anggota perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Negeri Sabah 2009, di Auditorium Tun Raffae, Menara Tun Mustapha di sini hari ini.

Musa berkata, kakitangan awam kini berhadapan dengan cabaran besar iaitu kegawatan ekonomi akibat krisis kewangan global.

"Ini menuntut setiap penjawat awam supaya lebih bersedia dengan pendekatan dan pemikiran kreatif serta inovatif bagi melaksana agenda dan cabaran pembangunan dengan berkesan," katanya.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan awam, beliau meminta semua ketua jabatan dan agensi kerajaan mengurus perbelanjaan kewangan dengan baik dan telus.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi memastikan setiap perbelanjaan awam memberi manfaat yang sepenuhnya kepada rakyat, begitu juga dengan pengurusan setiap aset dan harta awam.

Sistem penyampaian juga katanya, perlu dibaiki di semua peringkat bermula dengan kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ini bagi menjadikan perkhidmatan awam berjiwa rakyat, berteraskan pelanggan dan bertaraf dunia. Perkara ini perlu diberi penekanan utama dan perlu dimulakan dari sekarang," katanya.

Pada masa yang sama, tambah beliau, anggota perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang kepada jentera pentadbiran kerajaan, juga perlu bekerjasama dengan sektor swasta secara telus.

Beliau percaya, lebih banyak pelaburan baru dapat dijana jika kedua-dua sektor awam dan swasta dapat mewujudkan kerjasama positif dengan mengamalkan budaya memudah cara segala masalah yang dihadapi.

Utusan Online

No comments: